Atlet Wilayah

Idam ke Piala Thomas 2024

MUHAMMAD HAIKAL (kiri) dan Hon Jian berpuas hati apabila berjaya menundukkan beregu Taiwan, Lin Bing Wei-Su Ching Heng dalam Kejohanan Masters Guwahati di Assam, India
- Diterbit 8 Mac 2024 9:40 AM MYT

PEMAIN beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri meletakkan sasaran membawa pulang mahkota kejuaraan sulung tahun ini bersama pasangannya, Choong Hon Jian pada kejohanan Badminton Masters Orleans 2024 di Orleans, Perancis pada 12 hingga 17 Mac ini.

Atlet berusia 22 tahun itu berkata dia mahu mengecap kejayaan membanggakan di Orleans bagi menambat hati jurulatihnya untuk menyenaraikan mereka ke dalam skuad Piala Thomas 2024 yang bakal berlangsung di Chengdu, China, pada 28 April hingga 5 Mei 2024.

“Alhamdulillah setakat ini persediaan semua dalam keadaan baik, kalau tengok pada undian pun agak bagus dan ada peluang untuk rangkul juara di Orleans. Kami berharap untuk layak ke Piala Thomas 2024, jadi kena buktikan ketika di Orleans ini.

“Sekiranya menang, sudah tentu gelaran tersebut dapat beri kepercayaan kepada jurulatih, jika kalah macam mana nak masuk ke skuad Piala Thomas,” ujar anak jati Kelantan itu.

Muhammad Haikal-Hon Jian bakal membuat perhitungan dengan satu lagi wakil negara, Lwi Sheng Hao-Jimmy Wong pada pusingan pertama dalam kejohanan bertaraf Super 300 tersebut.

Biarpun dibelenggu prestasi kurang meyakinkan pada permulaan musim, Muhammad Haikal berkata dia dan Hon Jian sedang berusaha keras mencapai semula persembahan terbaik mereka Disember lepas sehingga bergelar juara dua kali berturut-turut di India pada saingan Antarabangsa India Syed Modi 2023 dan Masters Guwahati.

Muhammad Haikal-Hon Jian memulakan kempen 2024 dengan tersingkir seawal pusingan kedua pada Masters Indonesia 2024 kepada Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark, 17-21, 19-21.

Nasib ternyata tidak menyebelahi pasangan ranking ke-39 dunia itu apabila terpaksa menarik diri pada pusingan pembukaan Masters Thailand 2024 baru-baru ini susulan kecederaan buku lali dialami Muhammad Haikal sewaktu ketinggalan 7-16 pada set pertama kepada Kim Won Ho-Na Sung Seung dari Korea Selatan.

Beralih kepada perkembangan terbaharunya, Muhammad Haikal kini menetapkan misi untuk memasuki ranking top 32 dunia kerana mahu beraksi di kejohanan lebih besar iaitu Super 750 dan Super 1,000.

“Saya sudah bincang dengan Hon Jian iaitu selepas memintas empat gandingan Akademi Badminton Malaysia (ABM), kami tidak lagi menetapkan sasaran memburu gelaran sebaliknya memburu ranking dengan misi jelas, kami ingin pintas pasangan senior, Nur Izzuddin-Sze Fei,” ujarnya banyak yang perlu ditingkatkan dari segi fizikal, kawalan dalam gelanggang termasuk kualiti hantaran bulu tangkis. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas