Sukan

Stadium perlu dinaik taraf

PROJEK naik taraf stadium sebagai persediaan Kejohanan Liga-Malaysia. - Gambar hiasan
- Diterbit 8 Mac 2024 9:45 AM MYT

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mencadangkan supaya stadium utama di semua negeri dinaik taraf dengan memanfaatkan peruntukan bantuan geran RM500,000 daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurut KBS, cadangan itu dibuat menerusi Mesyuarat Penyelarasan Menteri/ Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Bil.1/ 2024 yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Menara KBS baru-baru ini.

“Projek menaik taraf stadium itu adalah sebagai persediaan Kejohanan Liga Malaysia (Liga-M) selain memastikan padang bola sepak berada dalam keadaan baik dan mengelak berlakunya air bertakung atau banjir semasa Liga-M berlangsung.

“Kerajaan negeri yang telah bersetuju perlu memberi komitmen bagi beberapa perkara iaitu menentukan lokasi stadium yang dipersetujui oleh kerajaan negeri setelah mendapat pandangan Malaysian Football League (MFL).

“Peruntukan sebanyak RM300,000 adalah untuk naik taraf sistem saliran padang serta menggunakan khidmat kontraktor yang berwibawa dan sesuai dengan standard digariskan oleh MFL,” ujarnya.

Dalam masa sama, KBS memaklumkan peruntukan RM200,000 pula perlu digunakan untuk menaik taraf padang dengan menukar rumput kepada jenis rumput bilah halus (fine-blade grass).

“Sementara itu, mesyuarat turut mencadangkan supaya kerajaan negeri berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing bagi melihat semula kadar bayaran lesen dikenakan premis-premis berkaitan sukan terutamanya gimnasium dan pusat snuker.

“Ia adalah untuk membantu para penggiat industri sukan terutama dalam mengurangkan kos operasi yang ditanggung mereka,” ujarnya.

Selain itu, KBS turut menyentuh mengenai pindaan kandungan Kod Sukan Selamat dengan memasukkan elemen baharu iaitu larangan merokok termasuk rokok elektronik (vape) semasa penganjuran atau menjalankan aktiviti sukan.

Terdahulu, KBS bertegas tidak akan berkompromi dengan isu berkenaan kerana ia mampu mendatangkan kebimbangan kepada banyak pihak.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas