Personaliti

Ida Harlina bangkit demi kemaslahatan rakyat 

||||
- Diterbit 15 Ogos 2020 3:50 AM MYT

HAMPIR 20 tahun aktif dalam bidang politik dan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Datin Ida Harlina Ikhwan Nasir, bangkit menyambung perjuangan demi memperkasa Srikandi Bersatu di Malaysia.

Dengan pengalaman luas yang dimiliki, kini beliau bersemangat memperjuangkan agenda utama perjuangan Bersatu dengan tampil sebagai calon Pengerusi Tetap Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) 06 pada pemilihan akan datang. 

Merupakan wanita pertama menjadi Pegawai Pengantara (Liaison Officer) Majlis Kerjasama Belia ASEAN pada tahun 2006-2011, beliau yakin dengan pengalaman membantu Setiausaha Agung CAYC menyelaras pergerakan dan halatuju belia peringkat negara-negara ASEAN (10 buah negara) ketika itu boleh diaplikasikan jika diberi peluang bergelar Pengerusi Tetap Srikandi Bersatu Malaysia. 

Selain itu, pada tahun 2007, beliau juga merupakan penggerak awal inisiatif Cyber Development Corps – United Nations, yang diketuai Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia. 

Tugas-tugas penting yang pernah disandang ke bahunya pada masa lalu meyakinkan beliau untuk bergelar Pengerusi Tetap Sri Kandi Bersatu Malaysia kerana bagi wanita berusia 47 tahun ini, bukan mudah untuk memikul tanggungjawab mempengerusikan Mesyuarat Agung Srikandi Bersatu yang berlangsung setahun sekali. 

Jika diberi peluang untuk bergelar Pengerusi Tetap Srikandi Bersatu Malaysia 06, besar harapan beliau agar semua ahli-ahli Srikandi memahami tujuan mesyuarat agung iaitu untuk membincangkan usul serta dasar-dasar parti dan strategi-strategi politik untuk kemaslahatan rakyat. 

Kehebatan beliau juga tidak perlu disangkal lagi apabila pada tahun 2010, beliau dilantik sebagai presiden wanita pertama mengetuai mana-mana kepimpinan Majlis Belia Negeri di Malaysia, sejak Majlis Belia Malaysia ditubuhkan 66 Tahun lalu.

Pengiktirafan yang pernah dinobatkan menjadikan beliau begitu yakin dan fokus dengan hala tuju serta matlamat untuk membantu golongan srikandi serta dalam masa yang sama menjalankan kebajikan di atas muka bumi ini. 

Pelbagai perancangan dirangka untuk keharmonian bersama. Antaranya beliau mahu menerapkan ciri-ciri Islamik sepanjang mesyuarat agung dijalankan. Jika boleh biarlah pembahas-pembahas di dalam mesyuarat tersebut turut menyelitkan ayat-ayat al-Quran dan hadis. 

Selain itu, beliau berazam agar mesyuarat yang dipengerusikan berlangsung dalam suasana aman dan harmoni tanpa sebarang pergaduhan yang secara tidak langsung dapat memecahbelahkan masyarakat. 

Jika dilihat dengan lebih mendalam, Bersatu adalah sebahagian daripada pentadbiran kerajaan pada hari ini. Maka di kesempatan tersebut, ia merupakan satu peluang yang terbentang luas buat ahli Srikandi membantu serta menjadi sebahagian daripada jentera pentadbiran kerajaan. 

Srikandi hari ini yang berumur seawal 18 tahun dan ke atas terdiri daripada golongan senior dan junior maka ia menjadi nilai tambah untuk membantu antara satu sama lain sedari akar umbi lagi.

Pun begitu, menurut Pengerusi Tetap Srikandi Bersatu Bahagian Titiwangsa ini, tanpa sokongan dan kerjasama pasukan Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Rina Harun, Naib Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin maka segala yang dirancang tidak mungkin berjaya. 

Pelbagai usaha dijalankan Srikandi Bersatu Malaysia bagi menaiktaraf kehidupan ahli antaranya dengan penubuhan Koperasi Srikandi Jaya Berhad (KSJB). 

Sebagai ahli politik, ilmu pengetahuan juga penting supaya idea, perancangan dan gerakan yang dihasilkan lebih kreatif serta menyeluruh di samping memerlukan pemikiran yang tajam dan bernas supaya setiap permasalahan rakyat dapat dibantu.

Justeru, beliau kini sedang menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Kedoktoran Pengurusan (PhD) di Universiti Utara Malaysia (UUM). Beliau juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana (Sains) Teknologi Maklumat (M.Sc.IT) pada 2002 dan pengajian Ijazah Sarjana Muda (Sains) Teknologi Maklumat (B.Sc.IT) dari universiti yang sama.

Kejayaan demi kejayaan yang ditempa, pastinya disebabkan dorongan kuat daripada ahli keluarga, bahkan beliau merupakan anak kepada seorang tokoh politik ternama tanah air dan bekas wartawan berkaliber, Datuk Haji Ikhwan Bin Nasir. 

Sudah tentu, sedikit sebanyak darah pahlawan mengalir di tubuh Datin Ida Harlina selari dengan perjuangan yang digalas bapanya iaitu berbakti kepada rakyat dan negara semasa menjadi Ahli Parlimen Pontian, Johor. Bapanya juga pernah dilantik sebagai Pengarah Hal Ehwal Khas di Kementerian Penerangan (BHEK) pada 1987 hingga 1990 dan sepanjang tempoh itu kempen SEMARAK (Setia Bersama Rakyat) dilancarkan di bawah kelolaan Dato’ Seri Mohamed Bin Rahmat.

Pastinya, berbekalkan pengalaman yang digarap daripada pemerhatian serta tingkah laku dan tunjuk ajar bapanya, Datin Ida Harlina menyemai prinsip berbakti kepada rakyat dengan fokus utama adalah Srikandi Bersatu Malaysia.

Malah, seandainya beliau diberi peluang menjawat jawatan yang lebih tinggi, pelbagai agenda kemasyarakatan akan dilaksanakan sekali gus memastikan kemaslahatan masyarakat terpelihara.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas