Berita

Masalah faraid mampu diselesaikan

AHMAD TERMIZI
- Diterbit 20 September 2019 2:25 AM MYT

MASALAH faraid dan pewarisan merupakan antara perkara utama yang sering menyebabkan usaha pembangunan Kampung Baru terbantut. Dengan keadaan waris sudah berlanjutan hingga beberapa generasi, proses tersebut kelihatan makin sukar.

Pengarang Wilayahku, HELMI MOHD. FOAD menemubual Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), AHMAD TERMIZI ABDULLAH bagi mengupas perkara tersebut.

Ahmad Termizi yang juga peguam syarie berkata, rancangan pembangunan semula kampung tradisi bakal banyak menyelesaikan kes isu pewarisan dan memastikan semua waris mendapat hak masing-masing.

Sejauh mana isu faraid menjadi sebab terbantutnya usaha membangunkan Kampung Baru selama ini?

AHMAD TERMIZI: Pemaju-pemaju yang hendak menjalankan pembangunan di Kampung Baru jadi macam ‘give up’ bila berurusan secara langsung dengan pemilik tanah atau waris sama ada tidak dapat selesai isu faraid sesama mereka atau suka hati letak nilai harga tanah.

Yang hendak membangunkan Kampung Baru melibatkan pemaju-pemaju Melayu seperti Lembaga Tabung Haji, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) atau UDA Holdings Bhd.. Ia tidak akan pergi kepada pemaju bukan Melayu.

Sedangkan pemaju hendak terima bersih, maknanya bila pemaju masuk, isu pewarisan sudah selesai. Jadi itulah rancang kerajaan ambil dahulu tanah daripada penduduk melalui konsep jual beli.
Bila ke­rajaan ambil, maka kerajaan akan runding dengan pemaju sama ada hendak buat usahasama atau sebagainya.

Sekarang Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad mencadangkan kerajaan ambil tanah melalui kaedah jual beli atas dasar untuk memudahkan, apabila pemaju masuk keadaan sudah bersih. Konsepnya kerajaan beli tanah penduduk dan bukan melalui pengambilan tanah.

Selepas kerajaan beli, bagaimana isu faraid dapat diselesaikan?

AHMAD TERMIZI: Kerajaan akan beli dan bayar deposit selepas pewaris selesaikan isu pemilikan dan bebanan tanah terlebih dahulu. Pewaris diberi tempoh penyelesai­an sebelum 30 Jun 2020. Selepas itu kerajaan tandatangani perjanjian dan bayar deposit 10 peratus. Jadi mereka ada motivasi untuk selesai isu pewarisan.

Projek tidak boleh jalan selagi tidak selesai isu faraid, jadi proses­nya memakan masa lagi. Walaupun kerajaan beri deposit 10 peratus, ke­rajaan tidak boleh ambil lagi tanah itu. Namun kerajaan sudah ada pelan dan ranca­ngan mengikut fasa termasuk kawasan komersial, Taman Warisan Melayu dan sebagainya.

Setakat ini sejauh mana kesukaran untuk menyelesaikan isu pewarisan?

AHMAD TERMIZI: Berdasarkan kepada 722 sesi inisiatif penyelesaian harta pusaka terdapat 703 kematian. Kes yang berjaya diselesaikan adalah 154 kes iaitu 22 peratus manakala yang belum selesai 549 kes (78 peratus) iaitu membabitkan 62 kes telah memohon (11 peratus), sedang proses sebanyak 80 kes (15 peratus) dan tidak maklum balas 407 kes (74 kes). Tiada maklum balas besar jumlahnya, ini sama ada waris tidak dijumpai atau mereka tidak hadir ke pejabat PKB untuk selesaikan atau tiada kerjasama daripada waris. Ini data setakat Disember 2018.

Apakah inisiatif yang diambil untuk menyelesaikan isu-isu faraid di Kampung Baru?

AHMAD TERMIZI: PKB adakan program turun padang, tahun 2013 terdapat lima siri program telah di­adakan melibatkan tujuh buah kampung dengan 55 peratusnya adalah pemilik tanah. Seramai 2,101 atau 88 peratus bersetuju dengan pemba­ngunan semula.

PKB juga mengadakan program engagement melibatkan perbinca­ngan dengan kumpulan yang telah menubuhkan jawatankuasa atau pemilik tanah yang sudah bersepakat.

Sebanyak 122 sesi telah dilaksana­kan sejak 2013 melibatkan agensi berkaitan seperti DBKL, Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ketiganya, ada unit jejak waris bagi mengesan waris yang berada di luar Kampung Baru dan keempat, program bersama waris bagi menyelesai­kan isu harta pusaka mengikut kes kematian.

Seterusnya ada khidmat rundingan dan nasihat oleh PKB kepada pemilik dan waris yang hadir secara walk in ke PKB. Selain itu, ada Klinik Harta Pusaka iaitu program penyelesaian harta pusaka secara one to one. Khidmat pakar dari Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan dan Amanah Raya yang diberikan lebih fokus. Ia diadakan dua kali sebulan setiap Khamis minggu kedua dan keempat.

PKB juga mengadakan sesi rundingan pemilihan jawatankuasa bertindak seperti di Flat PKNS Jalan Tun Razak.

Adakah masalah tidak jumpa waris boleh diselesaikan?

AHMAD TERMIZI: Ia boleh diselesai­kan ikut undang-undang, kalau kerajaan hendak beli, kita panggil waris mafqud (waris hilang), hilang ini kadang-kadang dia tidak cari, yang atas tanah itu ada orang tinggal dan mungkin hanya makan harta waris-waris yang lain. Sebab itu, sekarang kalau jumpa waris yang tinggal di Kelana Jaya atau Kota Damansara, mereka setuju sangat (pembangunan semula). Selalunya yang tidak setuju mereka yang tinggal di situ, sebenar­nya mereka sudah makan hak adik-beradik mereka.

Dari segi Islam mereka kena faham tidak boleh makan hak orang lain?

AHMAD TERMIZI: Ya, tidak boleh kita makan hak orang lain. Masalah faraid ini perlu diselesaikan. Bagi waris yang hilang, penyelesaiannya adalah Amanah Raya akan menjadi stakeholder, bila kita buat (pemba­ngunan), mana yang hilang itu semua akan masuk Amanah Raya, pemilik akan dapat bahagian mereka sahaja. Kerajan boleh beli ikut perundangan yang ada dan yang waris hilang perlu pergi ke Amanah Raya untuk tuntut bahagian mereka.

Sekarang pun waris yang konon­nya hilang itu sebenarnya sudah banyak muncul, mereka datang. Cuma sekarang mereka diam sahaja, takkan hendak lawan ‘otai’ yang duduk di situ.

Cumanya hendak menjadikan perkara ini selesai bakal melibatkan kos yang tinggi kerana ada yang sudah sampai empat lima generasi bila hendak selesai secara sendiri.

Bagaimana hendak mengatasi masalah ini? Adakah perlu kerajaan tanggung kos tersebut?

AHMAD TERMIZI: Bagi menyelesai­kan masalah ini, mung­kin antara cadangan yang boleh difikirkan ialah PKB bayar dahulu, bila harta dicairkan, wang itu kena bayar kepada PKB. PKB bayar konsultan selesaikan isu pewarisan dan ia dikira wang pendahuluan daripada PKB. Kalau kira PKB taja, nanti apa kata pula pemilik yang sudah selesaikan isu pewarisan dengan kos sendiri?

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas