Berita

ROZMAN (dua dari kanan) menyempurnakan perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Labuan baru-baru ini.

- Diterbit 14 Jun 2019 6:24 AM MYT

Kaamatan, Gawai pupuk semangat perpaduan, harmoni

LABUAN – Warga Labuan, Sabah dan Sarawak diseru agar mengekalkan keamanan, keharmonian dan kemesraan supaya menjadi negeri contoh sekali gus dapat terus menjadi destinasi utama pilihan pelancong.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, seluruh rakyat perlu sentiasa menyematkan rasa kesyukuran di atas kesejahteraan dan kemakmuran yang dikecapi selama ini.

”Sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, saya mengajak rakyat mengambil kesempatan untuk menyambutnya dengan semangat muhibah.

”Pesta Kaamatan dan Hari Gawai adalah manifestasi keharmonian dan semangat muhibah masyarakat di Malaysia, khususnya di Sabah, Sarawak dan Labuan agar terus mengamalkan gaya hidup aman damai dan bersatu padu,” katanya.
Kata Rozman lagi, tema sambutan tahun ini iaitu ‘Kaamatan Wadah Perpaduan Budaya Bangsa” bagi Pessta Kaamatan dan “Hayatilah Kebudayaan dan Asal Usul Anda” bagi Hari Gawai jelas menyuntik semangat dan aspirasi seluruh masyarakat majmuk.

“Ia bertujuan untuk mendidik agar rakyat lebih memahami, menghayati dan mengaplikasikan tema ini dalam kehidupan agar ia mencetuskan satu transformasi ke arah usaha melahirkan rakyat yang penyayang,” katanya.

Katanya, semangat perpaduan dan sikap toleransi beragama yang tinggi telah menjadi amalan hidup dan harus dipertahankan sampai bila-bila.

”Semoga perpaduan dan muafakat sesama kita akan terus berkekalan demi masa depan yang lebih cemerlang untuk kita dan generasi akan datang,” jelasnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas