Berita

Ibu bapa dijangka tebus Baucer Riang Ria Kembali Ke Sekolah sebelum sesi persekolahan bermula

SUASANA penerima baucer yang datang pada program Penebusan baucer Riang Ria ke Sekolah anjuran Yayasan Wilayah di Vista Wira Seksyen 2 Wangsa Maju di sini baru-baru ini.
- Diterbit 23 Disember 2019 9:47 AM MYT

KUALA LUMPUR – Dijangka lebih ramai ibu bapa penerima Baucer Riang Ria Kembali Ke Sekolah akan menebus baucer anak masing-masing, seminggu sebelum sesi persekolahan bermula.

Pengurus pusat penebusan baucer cawangan Wangsa Maju, Yang Ashraf Yang Ghazali berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai ibu bapa yang akan membuat persiapan membeli kelengkapan persekolahan di saat akhir.

Berikutan itu, pihaknya sendiri akan memastikan bekalan pakaian mengikut saiz mencukupi bagi memudahkan urusan penebusan.

“Sejak dibuka pada 28 November lalu, kita lihat jumlah penerima yang menebus baucer berjumlah RM120 itu kurang menggalakkan.

“Faktor cuti persekolahan yang baru bermula mungkin menyebabkan persiapan masih belum dilakukan. Selalunya, segala kelengkapan akan di buat di saat akhir,” katanya.

Sebanyak lapan pusat penebusan baucer dibuka seluruh Wilayah termasuk di Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, seorang ibu penerima, Marijah Mardini, 33, berharap supaya info lanjut berkenaan baucer berkenaan dapat dikembangkan lagi selain menaiktaraf pelaksanaannya.

Beliau berkata, pemberian baucer berkenaan adalah satu usaha yang berkesan namun ia harus dilihat secara menyeluruh.

“Saya tidak berkerja. Hanya suri rumah dan tahun hadapan dua anak bersekolah.

“Saya tidak tahu bagaimana cara mengisi permohonan dan mungkin disebabkan pemahaman serta cara permohonan yang salah, hanya seorang anak yang layak terima bantuan. 

“Apa pun, saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih atas bantuan ini yang dapat mengurangkan beban saya dan suami,”katanya.

Sejak kaunter penebusan di cawangan itu dibuka bermula 28 November lalu, lebih 300 penerima sudah mendapatkan kelengkapan persekolahan berupa tiga pasang baju sekolah, tiga pasang sarung kaki dan sehelai kemaja T putih, sudah menebusnya di cawangan berkenaan.

Pusat terbabit yang beroperasi setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 7 malam akan ditutup pada 31 Januari depan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas