Berita

i-Hya Ramadhan terima ratusan ribu peket berbuka puasa

ANTARA sumbangan yang diterima KWP.
- Diterbit 25 April 2020 8:11 AM MYT

PUTRAJAYA – Sejak dilancarkan tiga hari lalu, program i-Hya Ramadhan anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menerima ratusan ribu peket makanan termasuk 1,000 paket dari setiap kawasan Parlimen.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, sumbangan tersebut akan disalurkan pemimpin setempat kepada keluarga yang layak daripada golongan memerlukan.

“Mungkin 200 peket sehari untuk sesiapa yang dipilih. Untuk itu, 12 kawasan Parlimen termasuk Putrajaya maknanya jadi 12,000 (peket). Bukan semua orang diberikan, bergantung pada sumbangan.

“Melalui tempahan online (atas talian yang dibuat), akan hantar peket berbuka kepada mereka yang dimaksudkan sebagai penerima,” katanya dalam LIVE Facebook hari ini.

Bagi Putrajaya, ujar Annuar, penghantaran sumbangan berbuka puasa oleh Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan sub zon di kawasan tersebut telah diluluskan sekali gus membolehkan golongan yang layak menerimanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menerima banyak sumbangan untuk kegunaan petugas barisan hadapan dan penduduk yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Semalam, terima 5,000 roti bom yang mana 1,500 sudah diedarkan kepada anggota polis dan 3,500 hantar kepada pasar borong. Setiap unit rumah warganegara juga boleh terima lima keping roti bom untuk dimakan lepas tarawih atau sahur.

“Saya melalui Yayasan Permai memang hantar 1,000 nasi vanggey dan juadah berbuka puasa. Yayasan Permai juga sumbang 2,000 face shield (alat pelindung muka) kepada frontliner (petugas barisan hadapan) di Pasar Borong Selayang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas