Berita

Benar balik semula ke ibu kota dikaji

PERGERAKAN kenderaan rentas negeri dipercayai meningkat menjelang Ramadan. Gambar hiasan Lembaga Lebuh Raya Malaysia
- Diterbit 22 April 2020 7:57 AM MYT

PUTRAJAYA – Orang ramai yang ingin pulang semula ke kediaman atau tempat kerja masing-masing dari kampung perlu melaporkan diri kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula Sabtu ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka boleh melakukannya menerusi aplikasi gerak Malaysia iaitu kerjasama antara PDRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut beliau, mereka juga boleh melaporkan di balai polis berdekatan dengan membuat temujanji bagi mengelakkan kesesakan.

“Maklumat yang perlu dilaporkan termasuk nama mereka, jumlah keluarga dan sebagainya untuk pulang.

“Selain itu, perlu menyatakan dari kampung mana supaya mudah menjalankan perbandingan sama ada mereka dari zon merah atau hijau,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Ismail Sabri menjelaskan, maklumat itu penting dalam memudahkan pergerakan antara kumpulan tersebut.

Ujarnya, ini berikutan mereka tinggal berselerak merata-rata tempat dan tidak tahu jumlah mereka yang terlibat nanti.

“Ini berbeza dengan pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) kerana mengetahui jumlah mereka, status kesihatan serta sentiasa dipantau,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menegaskan kebenaran tersebut bagaimanapun, masih dalam kajian.

“Tiada jaminan lagi kerana masih menunggu laporan bermula 25 April ini dan lihat berapa banyak akan balik.

“Kita akan mengkaji baik dan buruknya dengan standard operasi prosedur (SOP) yang ketat. Saya percaya jika pergerakan dibenarkan ia bermula selepas 1 Mei namun bergantung pada nasihat daripada KKM,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas