Berita

i-Hya Ramadhan: Lebih RM60,000 sumbangan dalam seminggu

ZAIZALNIZAM (kiri) menyerahkan pek berbuka puasa kepada pengamal media Al-Hijrah sambil disaksikan Ardi Herman (tengah).
- Diterbit 30 April 2020 5:02 AM MYT

KUALA LUMPUR – Sejak Program i-Hya Ramadhan dilancarkan 22 April lalu, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menerima sumbangan lebih RM60,000 bagi penyaluran juadah berbuka puasa kepada warga kota termasuk petugas barisan hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaizalnizam Zainun berkata, pada masa ini, pihaknya telah menyerahkan 340 pek makanan kepada petugas media bermula Isnin lalu.

Jelas beliau, penyerahan itu berdasarkan pilihan ketiga sistem i-Hya Ramadhan iaitu penerima dinyatakan oleh penyumbang itu sendiri.

“Terdapat tiga kaedah (dalam sistem i-Hya Ramadhan), pertama sistem tunai iaitu pihak YWP akan menguruskan sesiapa yang akan diserahkan; kedua, melalui data based di peringkat YWP sendiri iaitu anak yatim, tahfiz dan sebagainya; ketiga, sumbangan yang digariskan dan diletakkan oleh penyumbang itu sendiri.

“Hari ini (semalam) kita sampaikan 60 pek iaitu nasi ganja ayam tanduri kepada petugas di media penyiaran, Al-Hijrah. Media lain juga termasuk (menerima sumbangan) bermula Isnin yang merangkumi media utama,” katanya selepas menyerahkan sumbangan di lobi utama Al-Hijrah semalam.

Dalam pada itu, Zaizalnizam menyeru badan korporat untuk terus membuat sumbangan berbuka puasa dan bersedekah menerusi i-Hya Ramadhan.

ARDI HERMAN

Sementara itu, Ketua Bahagian Berita dan Ehwal Semasa, Ardi Herman Mohd. Mardzi menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan badan korporat dan individu yang memberi sumbangan kepada pengamal media dan petugas barisan hadapan lain.

Ini kerana, katanya, agensi media tetap beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan merupakan salah satu cabang petugas barisan hadapan.

“Sumbangan juadah ini akan menceria dan menyerikan lagi suasana kerja kerana ada wartawan dan juruvideo yang bertugas hingga malam.

“Tambahan pula, pada masa ini tiada Bazar Ramadan dan ia agak sukar untuk mendapatkan sumber makanan, juadah belian atas talian pula sedikit terhad. Kalau dahulu, wartawan yang free ambil order untuk beli di Bazar Ramadan,” katanya.

Bagi wartawan penyiaran, Nurayuni Johari, dia amat berterima kasih atas sumbangan makanan berkenaan serta keprihatinan pelbagai pihak kepada pengamal media yang juga petugas barisan hadapan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas