Berita

ESM mahu rancang lebih banyak kejohanan e-sports

SUKAN e-sports jadi pilihan golongan belia.
- Diterbit 30 April 2020 5:21 AM MYT

KUALA LUMPUR – Selepas sambutan mengalakkan dalam kejohanan MyStay@Home Challenge 2.0 yang berakhir semalam, Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) mahu merancang lebih banyak lagi kejohanan berstatus eksklusif di seluruh negeri.

Perancangan itu bagi memastikan e-sports di Malaysia sentiasa kompetitif bagi mencungkil lebih ramai atlet terbaik yang dapat mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

Naib Presiden 1 ESM, Muhammad Naim Al Amin berkata, kejohanan berkenaan akan tertumpu kepada konsep liga melibatkan seluruh negeri.

“Perkara ini kita akan bincang lebih lanjut bersama pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terutama selepas tamat MyStay@Home Challenge 2.0,” ujarnya.

Tambahnya, hadiah bagi peringkat negeri mungkin sekitar RM5,000 manakala untuk kejohanan bertaraf kebangsaan bernilai RM10,000.

Dalam pada itu, tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) digunakan sebaiknya oleh ESM dan KBS untuk memastikan golongan belia kekal di rumah.

“Sukan e-sports merupakan sukan yang sesuai dijalankan sepanjang tempoh PKP kerana ia berlangsung secara dalam talian.

“Kita tidak mahu selepas tamat kejohanan ia berakhir begitu sahaja sebaliknya ia perlu ada kesinambungan dan dalam masa yang sama berharap lebih banyak pertandingan e-sports dapat dianjurkan di negara ini,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas