Berita

‘Hotspot Tracker’ kesan kes positif radius 1km

|
- Diterbit 28 Mei 2020 11:46 AM MYT

PUTRAJAYA – Orang ramai  boleh mengesan kes positif Covid-19 yang dilaporkan dalam lingkungan satu kilometer dari kawasan tertentu menggunakan ‘Hotspot Tracker’ melalui aplikasi MySejahtera.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, aplikasi itu membantu orang awam menjalankan aktiviti harian dan merancang perjalanan harian secara lebih berhati-hati selepas mengenal pasti kawasan berisiko.

Beliau berkata, fungsi ‘Hotspot Tracker’ melalui aplikasi MySejahtera dapat membantu rakyat mengenal pasti sekiranya terdapat kes yang dilaporkan dalam lingkungan satu satu kilometer dari kawasan yang dicari dalam tempoh 28 hari.

Katanya, rakyat disaran tidak melakukan perjalanan tidak perlu ke kawasan mempunyai risiko jangkitan virus itu.

“Aplikasi ini boleh dijadikan panduan kepada setiap pengguna dalam membuat keputusan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

“Masyarakat perlu jaga diri, keluarga dan komuniti di sekeliling mereka bagi memastikan bebas Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi yang belum memuat turun aplikasi MySejahtera, boleh berbuat demikian untuk menggunakan fungsi penting, termasuk penilaian kendiri kesihatan selain mengakses maklumat terkini daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas