Berita

Keputusan buka lebih banyak sektor termasuk pendidikan lepas 9 Jun

DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 28 Mei 2020 11:48 AM MYT

PUTRAJAYA – Keputusan membuka lebih banyak sektor termasuk pendidikan bergantung kepada bilangan kes positif Covid-19 yang dicatatkan sehingga 9 Jun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebarang keputusan akan dibuat bergantung kepada bilangan kes positif Covid-19 pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa sehingga tarikh berkenaan.

“Kejayaan PKPB memang kita nampak keberkesanannya apabila berlakunya penurunan kes sehingga dua digit terendah.

“Apa yang kita risaukan adalah musim perayaan ini, jika kita boleh kekal kes harian dengan dua digit terendah atau satu digit, mungkin lebih banyak sektor boleh dibuka termasuk pendidikan.

“Namun perkara ini semua bergantung kepada bilangan kes sehingga 9 Jun nanti,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, masyarakat perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

“Sehingga kini, pelbagai SOP diluluskan kerajaan untuk dilaksanakan oleh pelbagai industri dan orang ramai dalam kehidupan seharian termasuk upacara keagamaan dan sambutan perayaan.

“Kerajaan berusaha keras bagi memastikan pematuhan orang ramai terhadap SOP ini agar jumlah kes Covid-19 terkawal dan pada masa sama industri serta aktiviti yang dibenarkan kerajaan dapat dijalankan dengan terkawal,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sejak hampir sebulan penguatkuasaan PKPB, didapati jumlah kes positif Covid-19 dari 4 hingga 27 Mei lalu adalah 1,189 kes.

“Daripada jumlah ini, kes dalam kalangan warga tempatan hanya 22.7 peratus iaitu 270 kes manakala 77.3 peratus pula membabitkan kes bukan warganegara iaitu 919 kes.

“Sejak bermulanya PKPB, didapati trend penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat setempat semakin berkurangan dari minggu sebelumnya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas