Berita

Hanya 10 kes baharu Covid-19 hari ini

KES baharu Covid-19 menurun selepas tiada lagi jangkitan dilaporkan melibatkan kluster depot Imigresen sebagaimana beberapa hari lalu.
- Diterbit 28 Mei 2020 11:24 AM MYT

PUTRAJAYA – Bilangan kes baharu positif Covid-19 negara ini terus menurun dengan 10 kes dilaporkan hari ini iaitu kes harian terendah setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes baharu itu adalah penularan tempatan dengan lima daripadanya membabitkan warga asing.

Beliau berkata, kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia kini mencecah 7,629 kes.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 1,345 dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

“Sehingga kini, lapan kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 115 kes iaitu 1.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, sebanyak 86 kes pulih dan dibenar keluar hospital hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes discaj kini adalah sebanyak 6,169. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas