Fokus

Hotel Tenera nafi lupus biskut raya secara haram

|KENYATAAN media oleh pihak pengurusan Hotel Tenera|TIMBUNAN biskut raya yang ditemui oleh seorang penunggang basikal mencetuskan salah faham dalam kalangan warganet.
- Diterbit 17 Mei 2021 1:59 PM MYT

HOTEL Tenera, Bandar Baru Bangi,  menafikan dakwaan pihaknya terlibat dalam pembuangan dan pelupusan secara haram biskut raya di laluan Kampung Baharu Dengkil.

Projek biskut raya tersebut adalah kerjasama pihak Hotel Tenera bersama Yayasan Pendidikan Malaysia dan Pertubuhan Orked Penyayang.

KENYATAAN media oleh pihak pengurusan Hotel Tenera

Menerusi satu kenyataan kepada media, pihak pengurusan Hotel Tenera menegaskan urusan pengedaran biskut telah pun berakhir pada September tahun lalu.

“Pengurusan Hotel Tenera dengan tegas menafikan sebarang perkaitan berkaitan isu tular pelupusan secara haram bekas biskut raya di laluan Kampung Baharu Dengkil.

“Merujuk kepada gambar-gambar yang dikongsikan netizen, jelas menunjukkan bahawa bekas-bekas biskut raya tersebut adalah keluaran tahun 2020 dan pengedaran serta serahan sepenuhnya telah selesai dilakukan kepada pihak-pihak yang terlibat pada September 2020.

“Pengurusan Hotel Tenera juga menegaskan bahawa tiada stok lebihan yang masih ada dalam simpanan untuk keluaran 2020,” katanya.

TIMBUNAN biskut raya yang ditemui oleh seorang penunggang basikal mencetuskan salah faham dalam kalangan warganet.

Dalam masa yang sama, pihak hotel juga menganggap perbuatan tidak bertanggungjawab itu tidak sepatutnya berlaku.

“Pengurusan Hotel Tenera mengecam sekeras-kerasnya kegiatan tidak berhemah yang telah dilakukan oleh pihak tertentu dalam melakukan pelupusan sisa domestik tersebut dan ianya sama sekali bertentangan dengan pendirian Pengurusan Hotel Tenera terhadap kelestarian alam sekitar.

“Justeru itu, pengurusan Hotel Tenera menyeru agar mana-mana saksi tampil di dalam memberikan maklumat yang sewajarnya bagi menangani isu yang sedang tular ini,” jelasnya lagi.

Terdahulu, kecoh dalam media sosial pada Ahad (semalam) apabila beberapa gambar timbunan biskut raya yang dibuang di tepi jalan.

Timbunan biskut raya tersebut ditemui oleh seorang penunggang basikal yang kebetulan melalui jalan itu sebelum meluahkan kekecewaan di Facebook hingga menarik perhatian warganet.

Situasi ini telah menimbulkan salah faham dalam kalangan warganet apabila penutup bekas biskut raya tersebut tertera logo Hotel Tenera.

Ramai warganet yang tidak mengetahui hal sebenar mengecam perbuatan tersebut yang dianggap satu pembaziran dan mencemarkan alam sekitar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas