Selera

PKP: Kuih punten buka pintu rezeki, ubah nasib suri rumah

DEMI meneruskan kelangsungan hidup, Aida Farkhanah menjual kuih punten dengan harga RM4 di Ipoh, Perak.
- Diterbit 21 Mei 2021 2:50 AM MYT

MINAT untuk mempelajari juadah tradisi Jawa membuahkan hasil apabila seorang suri rumah berjaya mengubah nasib dan membantu keluarga dengan menjual kuih punten yang dipelajarinya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lepas.

Bermula dengan hanya berniaga secara dalam talian di rumah, Aida Farkhanah Mazlan, 24, kini mengusahakan gerainya sendiri dibantu suaminya Firdaus Sulaiman, 29, di hadapan rumah keluarganya untuk meneruskan kehidupan mereka dalam mencari pendapatan dan kelangsungan hidup.

Ibu kepada seorang anak itu berkata beliau mula mempelajari kaedah menghasilkan kuih tersebut menerusi YouTube yang kemudiannya menjadi antara juadah unik di gerainya di Kampung Sri Kinta yang turut menjual pisang goreng, kuih-muih dan keropok lekor selain kuih punten tersebut.

Aida berkata punten adalah sejenis makanan tradisi Jawa Sabak Bernam, Selangor yang hampir sama seperti nasi himpit yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu cuma ia lebih berlemak kerana dicampur santan dan garam untuk menambah keenakannya.

“Puten ini memang mengikut selera Jawa yang sinonim dengan masakan pedas. Jadi memang banyak pelanggan berketurunan Jawa suka membeli di kedai kami namun ada juga yang pertama kali mengetahui tentang kewujudan kuih ini.

”Saya jual kuih ini sebab ia unik jika hendak dibandingkan dengan kuih-kuih lain. Kalau hendak diikutkan, kebiasaannya apabila menyebut masakan Jawa, pasti akan terfikir nasi ambeng dan lontong sahaja. Oleh itu, kami cuba buat kelainan sedikit,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Aida, tekstur punten yang lembut seperti nasi impit yang dihidang bersama sambal hijau mampu menggamit selera peminat juadah pedas dan membawa kelainan kepada menu petang seisi keluarga.

Menceritakan tentang cara pembuatan kuih puten itu, Aida berkata ia mengambil masa kira-kira 45 minit menggunakan nasi yang dicampur dengan santan sebagai bahan utamanya.

“Nasi yang sudah dimasak akan dicampur bersama santan dan dilenyekkan untuk dijadikan bentuk seperti bujur. Kemudian bahan tersebut akan ditanak menggunakan ketuhar nasi. Bagi tiga tanak nasi bakal menghasilkan kira-kira 40 biji kuih puten.

“Sambal hijau pula hanya menggunakan bahan-bahan seperti cili api dan bawang yang dikisar. Cili boleh ditambah mengikut tahap kepedasan yang diingini,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya kuih punten ini kurang mendapat sambutan namun selepas lebih setahun bertapak, ia semakin mendapat permintaan dan meniti di bibir pelbagai kelompok masyarakat bukan sahaja dari penduduk Ipoh, malah dari Sabak Bernam, Selangor yang sanggup datang merasai keistimewaannya.

Aida menambah kuih puten yang dijual dengan harga serendah RM4 untuk enam ketul itu boleh habis dijual sehingga 40 ketul dalam masa sehari dan permintaan masih berterusan meskipun dengan penularan wabak COVID-19.

Beliau berharap di sebalik peredaran masa dan teknologi, kuih punten masih mendapat sambutan daripada generasi muda serta tidak lapuk ditelan zaman. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas