Sekilas

Dulu hidup susah, kini tauke kedai serbaneka rajin bersedekah

|KESUSAHAN lalu menjadikan Hasnah seorang yang suka berbakti setelah mempunyai perniagaan sendiri.|HASNAH sentiasa memastikan yang terbaik buat semua pelanggan.|
- Diterbit 15 Mei 2021 3:31 AM MYT

BERAKIT-RAKIT ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian.

Begitulah diibaratkan prinsip hidup usahawan berjaya yang juga pemilik kedai serbaneka Mak Long Mart iaitu Datin Hasnah Abd. Samad.

Kehidupannya yang susah dulu, menjadi pembakar semangat untuk dirinya berjaya serta membantu mereka yang memerlukan sekaligus menjadikannya sebagai inspirasi kepada kaum wanita.

“Saya orang susah dan hanya gadis kampung biasa. Ayah saya meninggal dunia ketika saya berumur 12 tahun. Arwah ayah seorang pekebun yang mengusahakan kebun kelapa dan Kopi. Emak pula suri rumah sepenuh masa.

“Bila ayah dah tak ada dan ketika itu kami adik-beradik masih kecil, emaklah yang ambil alih semua kerja termasuk mencari nafkah untuk kami.

“Alhamdulillah, arwah ayah tinggalkan kebun. Walaupun hidup susah, kami sekeluarga dapatlah makan hasil daripada kebun. Memanglah tidak mewah kerana kami makan apa sahaja yang ditanam sendiri, tapi cukuplah untuk mengisi perut.

“Kalau nak makan ayam atau daging, kami kena tunggu hari raya Haji baru dapat makan. Kami memang menunggu daging korban setiap kali tibanya hari raya itu. Kalau ikan tu, dapatlah kami makan seminggu sekali.

“Pernah juga beras tinggal sedikit, jadi emak masak bubur supaya nampak banyak. Dalam masa yang sama, boleh jimat beras yang sudah berkurangan.

“Memandangkan adik beradik ramai, kami tetap rasa makanan itu sedap. Kami juga banyak makan sayur-sayuran hasil daripada kebun seperti pucuk ubi, pucuk Paku dan sebagainya,” luah Hasnah yang kini sibuk menguruskan kedai serbanekanya itu di Bandar Puncak Alam, Selangor.

KESUSAHAN lalu menjadikan Hasnah seorang yang suka berbakti setelah mempunyai perniagaan sendiri.

Hasnah juga pernah berhasrat mahu melanjutkan pelajaran di universiti, namun impiannya tidak kesampaian dek kekangan hidup yang dialami ketika itu.

“Dulu saya memang bercita-cita mahu belajar lebih tinggi. Namun disebabkan keadaan kewangan yang tidak mencukupi dan banyak lagi kekurangan lain, cukuplah saya tamat belajar di peringkat SPM,” jelas Hasnah yang juga anak kelima daripada tujuh adik-beradik. Mereka membesar di Kapar, Klang, Selangor.

 

Amalan bersedekah

Hasnah juga mengaku sering diajukan pertanyaan tentang rahsia kejayaannya hari ini sehingga menjadi inspirasi kepada ramai wanita.

Walaupun tidak belajar tinggi, tetapi amalan suka berbuat baik dan bersedekah membuatkan rezeki Hasnah semakin melimpah ruah.

“Ini semua soal rezeki, tetapi ia perlu disusli dengan usaha. Rezeki tidak datang macam itu sahaja, kena ada usaha.

“Sentiasa berbuat baik dengan orang. Insya Allah, rezeki itu akan datang kepada kita.

“Saya memang bukan orang yang bercita-cita melangit. Bagi saya bila buat baik, jangan harapkan balasan daripada orang tersebut tetapi harapkanlah balasan daripada Allah,” katanya yang juga sering bersedekah Dan membantu mereka yang memerlukan.

“Salah satu sebab saya bersetuju untuk buka kedai ini bersama suami adalah kerana mahu bersedekah dan berinfaq kepada mana-mana pihak atau sesiapa sahaja. Agak mudah apabila ada kedai sendiri.

“Kami ada menyediakan food bank (bank makanan) setelah beberapa bulan kedai ini dibuka. Sesiapa sahaja yang datang tanpa mengira kaum, boleh ambil makanan asas yang diperlukan seperti beras, susu, gula, telur, tepung dan banyak lagi.

“Kadang-kadang, kami hantar makanan dari food bank ke masjid-masjid dan pusat tahfiz,” ujarnya lagi.

HASNAH sentiasa memastikan yang terbaik buat semua pelanggan.

Mak Long Mart bantu peniaga IKS

Sejak dibuka pada November tahun lalu, Mak Long Mart yang semakin mendapat sambutan menggalakkan ini turut memberi ruang serta peluang kepada para peniaga Industri Kecil Sederhana (IKS).

“Niat saya dan suami membuka Mak Long Mart adalah untuk memudahkan para pelanggan beli apa sahaja yang mereka mahukan. Pendek kata, matlamat saya mahukan kedai ini memenuhi keperluan ramai terutamanya dari segi bekalan makanan.

“Selain itu, kami turut membantu masyarakat dengan membuka peluang pekerjaan. Ini kerana, ramai yang bekelulusan tinggi tetapi tiada pekerjaan. Jadi, inilah peluang untuk mereka membina kerjaya.

“Bukan Itu sahaja, menyedari kesusahan ramai peniaga IKS terutamanya dalam musim pandemik COVID-19 ini, kami memberi peluang kepada mereka untuk menjual produk makanan mereka di Mak Long Mart.

“Peluang terbuka kepada semua peniaga IKS dan kami mengutamakan para peniaga IKS yang betul-betul mahu majukan perniagaan mereka,” jelasnya lagi.

Semoga kejayaan Hasnah menjadi inspirasi buat ramai wanita di luar sana. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas