Berita

Mesra Komuniti – kelebihan Balai Polis Sungai Besi

JOHNY Ching Ewe Gee (tiga Dari Kanan) menyerahkan watikah lantikan Balai Polis Sungai Besi mewakili Kuala Lumpur untuk Angerah Balai Polis Cemerlang MCPF Tahun 2022 kepada Muhammad Sallehuddin.
- Diterbit 28 September 2022 12:09 PM MYT

KREDIBILITI Balai Polis Sungai Besi, Cheras menjaga keselamatan selain ketenteraman awam, melayakkannya wakili Kuala Lumpur untuk Anugerah Balai Polis Cemerlang 2022 yang dianjurkan Majlis Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Bagi Naib Pengerusi MCPF, Datuk Seri Johny Ching Ewe Gee, pemilihan itu dibuat dengan berdasarkan beberapa kriteria utama seperti keupayaan polis berinteraksi dengan warga Masyarakat di samping membasmi kegiatan jenayah di kawasan seliaan balai berkenaan.

MUHAMMAD Sallehuddin ketika memberi taklimat berkenaan prestasi Balai Polis Sungai Besi sempena lawatan MCPF bagi Anegerah Balai Polis Cemerlang 2022.

Beliau berkata, inisiatif dan juga pendekatan diambil pegawai serta anggota di Balai Polis Sungai Besi amat bertepatan aspirasi ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

“Aspek seperti keberkesanan pasukan polis membudayakan konsep ‘Modern Policising’ selari keperluan semasa untuk mewujudkan rasa Selamat Dan selesa rakyat di segenap lapisan, seterusnya mengurangkan bilangan kes jenayah di kawasan penempatan.

“Saya Ketua Panel bagi Anugerah Balai Polis Cemerlang MCPF Tahun 2022, menyokong usaha diterajui oleh Ketua Polis Balai Sungai Besi Inspektor Muhammad Sallehuddin yang proaktif menyantuni warga serta melaksana pelbagai penambahbaikan terbukti berkesan meminimumkan kadar kes jenayah di dalam kawasan seliaan lebih 11 kilometer persegi dengan berkepadatan penduduknya kira-kira 184,000 orang,” katanya.

SEBAHAGIAN perwakilan hadir merakamkan gambar kenangan di hadapan Balai Polis Sungai Besi sempena lawatan MCPF, di Pekan Sungai Besi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika sesi Lawatan MCPF (Zon Tengah) Anugerah Balai Polis Cemerlang 2022 di pekarangan Balai Polis Sungai Besi, Cheras di sini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Zam Halim Jamaluddin dan Ahli Exco MCPF, Datuk Abdul Aziz Ariffin.

Selain delegasi MCPF, program turut disertai wakil agensi kerajaan, pihak perbankkan dan 13 Pengerusi Persatuan Penduduk diberikan taklimat berkenaan sejarah ringkas dan latar belakang Balai Polis Sungai Besi yang telah mula beroperasi pada tahun 1983.

Dalam pada itu, ketika taklimat, Muhammad Sallehuddin menegaskan dengan keupayaan pasukan seramai 134 anggota dan pegawai, pihaknya komited untuk memastikan aspek keselamatan dan keselesaan masyarakat terjamin melalui inisiatif rondaan dan mesra komuniti.

Menurutnya, berdasarkan statistik kes serta peratusan kadar jenayah menunjukkan trend menurun hasil kekerapan sekatan jalan raya dan rondaan pasukan 24 jam sehari.

“Berdasarkan data, kejadian samun menurun kepada 8 kes setakat ini berbanding 10 kes tahun lalu; kes curi 9 berbanding 23, tahun sebelumnya, curi kereta turun kepada 5 kes daripada 9 kes pada 2021, curi motosikal 20 berbanding 30 kes tahun sebelumnya.

“Saya mengucapkan syabas kepada semua pasukan Polis Balai Sungai Besi yang amat komited menjalankan tugasan diamanahkan dan terima kasih kepada komuniti setempat serta rakan agensi lain memberi kerjasama dalam melaksana penugasan pasukan Polis mensejahtera komuniti setempat,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas