Berita

Hockademy KL sambar enam pemain kebangsaan

HANIS NADIAH
HANIS NADIAH (kiri) bakal beraksi bersama Hockakademy KL. HANIS NADIAH (kiri) bakal beraksi bersama Hockakademy KL.
- Diterbit 10 Januari 2020 5:54 AM MYT

BANGSAR – Pendatang baru Liga Hoki Wanita 2020, Hockademy KL laung amaran awal sebagai pencabar kejuaraan Liga Hoki Wanita apabila menyambar enam pemain wanita kebangsaan selain berjaya mengikat beberapa pemain import dari Australia dan India.

Enam pemain wanita kebangsaan yang berjaya diikat pasukan yang berpangkalan di Bangsar itu ialah Hanis Nadiah Onn, Fatin Syafika Mohd Sukri, Nuramirah Syakirah Zulkifli, Wan Norfaiezah Saitui, Kirandeep Kaur dan Nuraini Abd Rashid.

Penyerang baharu Hocka­demy KL, Hanis Nadiah Onn yang merupakan penjaring terbanyak liga pada musim le­pas turut menanam hasrat mengekalkan gelaran penjaring terbanyak bagi dua musim berturut-turut.

“Walaupun muncul penjaring terbanyak musim lalu bersama UNITEN, saya gagal membantu UNITEN mempertahankan gelaran pada musim terdahulu.

“Untuk musim ini, saya ingin merasai bermain dengan pasukan baru dan ingin menjaringkan banyak gol sekali gus membantu Hockademy KL menang satu daripada dua gelaran pada musim kali ini,” katanya.

Sementara itu, menurut Ketua Jurulatih Hockademy KL, Iman Gopinathan, objektif utama pasukannya menyambar beberapa pemain berkualiti termasuk pemain import adalah untuk menyuntik impak kepada pembangunan sukan hoki yang sedang pesat dilakukan untuk Kuala Lumpur.

“Kehadiran pemain-pemain ini jelas menunjukkan kita mempunyai pemain yang cukup bagus dan kita mahu pastikan Hockademy KL dapat membawa impak dalam musim pertama kami.

Dengan matlamat kelab yang jelas dalam membangunkan pemain remaja di Kuala Lumpur, kita kena buktikan kita benar-benar serius bangunkan sukan hoki di negeri ini,” katanya.

Pasukan Hockademy KL akan bersaing dengan lima lagi pasukan iaitu Blue Warriors, PKS-UNITEN, Mutiara Impian-MSSPP-PSHA, Sabah dan juara bertahan, Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas