Berita

Hiking denai semula jadi di Taman Rimba Alam

EMPAT laluan jelajah dengan jarak 1.5 kilometer (kesukaran sederhana) disediakan kepada pengunjung pelbagai umur. Foto: FARIS AZMI/PPj
- Diterbit 22 Julai 2023 3:00 AM MYT

PERBADANAN Putrajaya (PPj) menghidupkan kembali Taman Rimba Alam, Presint 15, Putrajaya dengan perasmian laluan jelajah (hiking trail) sebagai usaha untuk memaksimumkan pengalaman pelancong ke negeri itu.

Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata terdapat satu laluan baharu berkonsepkan jelajah denai semula jadi telah dibangunkan bagi membolehkan pengunjung terutama pada mereka yang menggemari aktiviti hiking merasai pengalaman baharu semasa menjejaki kawasan denai, pokok-pokok hutan, kawasan arboretum dan kawasan tadahan air.

“Laluan jelajah yang baru dibangunkan ini sesuai untuk pelbagai peringkat umur yang sukakan pengalaman suasana hutan dan ia juga sesuai buat mereka yang baru menceburi aktiviti hiking memandangkan jaraknya hanya 1.5 kilometer dengan tahap kesukaran yang sederhana,” ujarnya kepada Wilayahku.

Menurut Fadlun, pelbagai aktiviti rekreasi boleh dilakukan di taman itu seperti berjoging, brisk walk, berbasikal, treasure hunt, orienteering, lawatan berpandu, aktiviti memerhati burung, berkelah dan aktiviti penghayatan alam semula jadi.

“Terdapat empat laluan jelajah yang telah disediakan kepada pengunjung di Taman Rimba Alam.

“Pengunjung yang melalui laluan tersebut akan dapat menghayati keindahan pelbagai spesies pokok-pokok hutan hujan tropika yang terdiri daripada cengal, meranti merah dan buah-buahan asli tempatan,” tambah beliau.

Selain itu, beliau berkata pengunjung bukan sahaja dapat menghayati suasana hutan hujan tropika malah mereka juga diberi pendedahan dengan nama-nama pokok terdiri daripada pelbagai spesies yang terdapat di taman tersebut.

“Antara kemudahan yang disediakan di taman ini kepada pengunjung adalah pavilion sebagai tempat berkumpul, tandas awam, kemudahan tempat letak kereta, tong sampah, papan tanda informasi, peta laluan, tempat duduk dan sebagainya,” ujarnya tempahan sewaan tapak bagi penganjuran program dan aktiviti turut dibuka kepada orang ramai.

Terdahulu, Taman Rimba Alam yang mempunyai keluasan sebanyak 165 hektar serta terletak di antara Presint 14 dan 15 Putrajaya menempatkan kepelbagaian spesies hutan hujan tropika (sebahagian besar hutan adalah daripada spesies pokok hutan tanah pamah dipterokap).

Taman ini berkonsepkan hutan bandar dengan menggabungkan ekosistem hutan tropika, sungai yang mengalir, denai alam semula jadi, kawasan pemandangan dan sebagainya.

Lebih menarik, para pengunjung berpeluang mengenali lebih 400 spesies pokok hutan teal dengan jumlah pokok yang telah ditanam melebihi 95,000 batang pokok. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas