Berita

PL beri 50 peratus diskaun sewa premis

ANIFAH (dua dari kiri) ketika lawatan ke Pasar Sentral Labuan, baru-baru ini.
- Diterbit 22 Julai 2023 5:00 AM MYT

PERBADANAN Labuan (PL) meluluskan ­pemberian diskaun premis niaga miliknya di Pasar Sentral UTC selama setahun bermula 1 Januari lalu sebanyak 50 peratus kadar sewa 178 lot.

Pemberian diskaun tersebut membabitkan premis peniaga di Aras 1 dan 2, Pasar Sentral Labuan dan kawasan sekitarnya antaranya Pasar Khinzir, Stesen Bas dan Stesen Teksi.

Perkara tersebut diputuskan dalam satu mesyuarat Perbadanan Labuan yang dipengerusikan oleh Senator Tan Sri Anifah Aman ­pada 14 Julai lalu.

Menurut kenyataan yang ­dikeluarkan Perbadanan Labuan, ia merupakan inisiatif awal yang diberi perhatian oleh Pengerusi dan Anggota Perbadanan Labuan yang baharu dilantik pada 19 Jun 2023.

“Ini memberi manfaat ­kepada 178 lot premis niaga ­milik Perbadanan Labuan yang melibatkan 151 lot gerai di Aras 1, 13 lot gerai di Aras 2, 10 unit kios (berdekatan meja jualan ­produk makanan kering), tiga lot gerai di stesen bas dan teksi ­serta sebuah Pasar Khinzir.

“Perbadanan Labuan telah memperuntukkan sebanyak RM364,560 bagi menampung pemberian diskaun ini berkuat kuasa selama satu tahun ­bermula pada 1 Januari sehingga 31 Disember 2023,” katanya.

Dalam pada itu, pihak ­berkuasa tempatan tersebut ­juga berharap ­pemberian diskaun berkenaan dapat ­memberikan kelegaan ­kepada ­para peniaga terlibat dalam usaha memulihkan sumber pendapatan mereka.

“Perbadanan Labuan ­sentiasa prihatin dan peka terhadap ­keluhan para peniaga,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas