Berita

MyGrocer@Wilayah bantu warga kota

PROGRAM Jualan Murah Keluarga Malaysia menerusi Trak MyGrocer@Wilayah menawarkan pelbagai barangan basah dan kering dengan harga rendah berbanding harga siling yang ditetapkan kerajaan.
- Diterbit 30 September 2022 9:04 AM MYT

PROGRAM Jualan Murah Keluarga Malaysia menerusi Trak MyGrocer@Wilayah yang berlangsung pada 24 dan 25 September lalu terus mendapat sambutan hangat daripada orang ramai dengan mencatatkan hasil jualan lebih RM33,000.

Menurut Ketua Operasi MyGrocer@Wilayah, Abu Zaki Abu, program di bawah inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan agensi termasuk Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) itu mula dipenuhi orang ramai seawal pukul 8 pagi.

“Alhamdulillah sambutan yang diterima amat memberangsangkan. Pada pukul 8 pagi orang ramai sudah mula beratur menanti pembukaan trak kerana tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan ayam serendah RM5 termasuk beberapa barangan lain yang dijual dengan harga lebih murah dari pasaran.

“Pada hari pertama kita berjaya menghabiskan sebanyak 1,800 ekor ayam selain Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim turut memberikan 200 ekor ayam percuma kepada pengunjung yang hadir sempena Happy Hour. Selebihnya pula (1,200 ekor) berjaya dijual pada keesokkan harinya selepas dua jam trak dibuka.

“Bukan itu sahaja, pengunjung turut berpeluang mendapatkan barangan asas lain seperti beras, tepung, gula, sardin, telur, susu, santan dan bawang yang dijual dengan harga diskaun sebanyak lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga di pasar awam,” katanya ketika ditemui Wilayahku pada Program Karnival Putrajaya 2022 baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Jualan MyGrocer@ Wilayah, Nur Aiman Amirul Osema berkata Program Jualan Murah Keluarga Malaysia menfokuskan kepada kegunaan isi rumah dan rata-rata pengunjung menyambut baik program itu kerana dapat membantu meringankan beban kewangan mereka.

“Program ini bukan hanya menawarkan harga yang jauh lebih murah malah ia turut memudahkan pengguna kerana barangan yang dijual seperti ikan dan ayam sudah siap diproses dan dipotong.

“Kalau sebelum ini, kita pernah jual ayam yang sudah siap dibersihkan sebelum dibungkus untuk jualan dengan harga RM10. Kami turut meletakkannya di dalam peti sejuk bagi memastikan kesegaran ayam dan ikan.

“Saya rasa ia amat membantu pengguna menjimatkan masa untuk memasak selain dapat membeli barangan dapur dan makanan asas harian yang segar dan berkualiti menerusi inisiatif ini,” tambahnya yang turut menyeru warga Kuala Lumpur untuk berbelanja di Trak MyGrocer@Wilayah.

Dalam program tersebut, sebanyak lapan jenis barangan disenaraikan dengan kadar subsidi yang diberikan seperti telur ayam (50 sen), tepung gandum satu kilogram (20 sen), gula satu kilogram (15 sen), sardin bukan premium 425 gram dengan kadar subsidi sebanyak 50 sen, beras bukan premium lima kilogram (RM1.50), susu pekat 500 gram (70 sen) dan santan kotak 200 mililiter (20 sen). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas