Artikel

AirAsia X umum laluan baharu KL ke Narita, Tokyo

2
2
- Diterbit 23 Ogos 2019 6:20 AM MYT

SEPANG – AirAsia X Malaysia mengumumkan laluan baharu antara Kuala Lumpur dan Tokyo-Narita, Jepun yang akan beroperasi mulai 20 November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail berkata, perkhidmatan ini adalah hasil daripada permintaan penumpang dan se­belum bermula tahun yang gilang-gemilang buat pelancongan Tokyo tahun 2020.

Beliau berkata, penerbangan empat kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Tokyo-Narita akan bermula pada 20 November depan akan membawa kapasiti sebanyak 156,000 tambahan tempat duduk pelancong menerusi La­pangan Terbang Narita setahun.

“Tetamu kami kini boleh terbang dari Kuala Lumpur ke Tokyo sama ada menerusi Lapangan Terbang Narita atau Haneda, memberikan mereka lebih fleksibiliti dalam pemilihan waktu dan hubungan penerbangan.

“Beroperasi dari dua lapangan terbang di Tokyo dengan waktu penerbangan yang berbeza juga akan mempromosi penumpang Fly-Thru dari bandar-bandar lain dalam jaringan hubungan global kami, pada masa sama memberi rakyat Malaysia lebih banyak pilihan penerbangan ke ibu negara dan bandar terbesar Jepun ini,’’ kata beliau dalam laman Instagramnya @BenyaminIsmail.

Dalam video pengumuman itu, Benyamin turut mengumumkan tambang promosi dari Kuala Lumpur ke Tokyo-Narita buat ahli AirAsia BIG dari Kuala Lumpur ke Tokyo-Narita yang akan dijual pada harga serendah RM199* sehala bagi tempat duduk bia­sa dan tersedia untuk tempahan dari sekarang hingga 25 Ogos 2019 di airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia untuk perjalanan antara 20 November 2019 dan 28 Mac 2020.

AirAsia pada masa ini mengoperasi penerba­ngan tujuh kali seminggu antara Kuala Lumpur dan Tokyo-Haneda serta 21 kali seminggu antara Bangkok-Don Mueang dan Tokyo-Narita.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas