Artikel

Hentikan rebakan bandar

PROJEK Plaza Rakyat yang terletak bersebelahan UTC Puduraya telah terbengkalai sejak 1992. - Gambar hiasan
- Diterbit 22 November 2019 6:29 AM MYT

Penduduk bandar di Semenanjung Malaysia dijangka meningkat daripada 18.98 juta orang (74.8 peratus) pada tahun 2015 kepada 22.58 juta orang (83.3 peratus) pada tahun 2025.

Di Wilayah Persekutuan Labuan pula, penduduk bandar dijangka meningkat daripada 86,000 orang (85.3 peratus) pada tahun 2015 kepada 99,000 orang (87.1 peratus) menjelang tahun 2025.

Kesan secara langsung akibat daripada pertambahan penduduk yang pesat ini adalah rebakan bandar.

Rebakan bandar merupakan satu isu atau fenomena yang telah dan sedang berlaku kesan daripada pembangunan pesat bagi sesuatu kawasan perbandaran. Bukan sahaja di Malaysia malah berlaku di mana-mana negara terutama negara maju atau membangun.

Ia berhubung-kait dengan pertumbuhan penduduk yang pesat dan migrasi penduduk dari luar bandar ke bandar. Pertambahan penduduk ini memberi tekanan kepada bandar untuk memenuhi permintaan penduduk bagi keperluan kawasan kediaman, komersial, industri, kemudahan awam serta infrastruktur dan lain-lain keperluan asas sesuatu perbandaran.

Rebakan yang berlaku adalah dalam bentuk pembangunan fizikal yang pesat dan hampir tidak terkawal melebihi kawasan bandar sedia ada.

Kebanyakan bandar tidak bersedia untuk menerima penghijrahan penduduk yang banyak dalam masa yang singkat. Tanpa perancangan yang komprehensif dan berbentuk strategik, bandar-bandar tersebut akan mengalami rebakan yang tidak terkawal.

Penetapan sempadan pertumbuhan bandar merupakan salah satu kaedah untuk mengawal rebakan bandar. Sempadan bandar boleh membantu pihak berkuasa perancang tempatan menetapkan kawasan yang boleh dibangunkan dan kawasan yang perlu dikekalkan.

Mengapa penetapan sempadan pertumbuhan bandar perlu? Bandar yang tidak mempunyai sempadan bandar menyebabkan berlakunya desakan dan tekanan pembangunan fizikal. Situasi ini akan mewujudkan rebakan bandar yang mana berlakunya penyelerakan pembangunan guna tanah yang tidak terkawal serta pengguna­an tanah tidak secara optimum dan efisien.

Perluasan kawasan perbandaran terutamanya bagi tujuan pembangunan yang semakin ketara memberi kesan kepada penggunaan ruang yang tidak optimum dan pengurangan kawasan hutan dan pertanian akibat pencerobohan atau penukaran guna tanah kepada ke­gunaan perbandaran.

Selain itu, kesukaran juga berlaku dalam menentukan kawasan tampungan (catchment area) untuk penyediaan kemudahan masyarakat, infrastruktur serta utiliti.

Peningkatan kos penyediaan pengangkutan awam, infrastruktur dan utiliti akibat daripada pembangunan secara berselerak dan kesukaran melaksanakan penguatkuasaan yang berkesan dan tadbir urus bandar yang cekap turut berlaku.

Pertumbuhan

Kawasan Lembah Kelang me­ngalami pertumbuhan penduduk yang sangat ketara dan kejadian tersebut membuatkan bandar sedia ada tidak dapat menampung infrastruktur dalam lingkungan kawasannya.

Ini mengakibatkan penghijrahan penduduk ke pinggir-pinggir bandar seterusnya membuka bandar-bandar baharu.

Namun proses tersebut mengakibatkan rebakan yang boleh membawa masalah lain di kawasan pinggir bandar atau desa yang berhampiran bandar.

Pembangunan yang tidak dirancang dengan baik akan mengakibatkan ancaman kualiti hidup masyarakat di kawasan pinggiran bandar.

Bagi menangani isu rebakan bandar yang semakin menular di Malaysia, PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) telah menjalankan kajian-kajian yang fokus utamanya adalah untuk mencadangkan sempadan pertumbuhan bandar bagi sebahagian bandar-bandar di Malaysia.

Kajian yang dimaksudkan adalah Kajian Pelan Penyelarasan Perancangan dan Pembangunan Bandar Bersebelahan di Bawah Pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Yang Berbeza membabitkan 39 bandar di Semenanjung dan Kajian Projek Penentuan Sempadan Bandar melibatkan 181 bandar di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Hasil kajian ini akan menetapkan sempadan bandar yang akan dijadikan sebagai sempadan rasmi yang seragam untuk digunakan oleh pelbagai agensi di dalam membuat perancangan dan menyediakan kemudahan-kemudahan yang diperlukan.

Penetapan sempadan-sempadan bandar ini juga bertujuan menguruskan pertumbuhan bandar dengan guna tanah yang lebih optimum dirancang di dalam kawasan pembangunannya untuk manfaat penduduknya.

Bahagian Rancangan Fizikal Negara PLANMalaysia

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas