Artikel

Fara mahu bergelar ikon muslimah antarabangsa

- Diterbit 22 November 2019 6:31 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

SEKSI. Itu penampilan model wanita yang mesra disapa Fara ini suatu ketika dahulu. Namun kini pemilik nama penuh Nur­farhana Abdul Karim ini sudah pun berhijrah dan tampil manis mengenakan hijab.

Pun begitu perubahan yang hadir dalam dirinya sejak empat tahun lalu tidak pernah menjadi halangan buatnya untuk terus menggapai cita-cita sebagai seorang model. Ini kerana bidang tersebut me­rupakan minatnya sedari kecil lagi.

Menurut wanita jelita yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor ini, dia mahu membuktikan kepada masyarakat sungguh pun mengenakan hijab namun wanita juga mampu tampil mempesona dan meyakinkan.

“Kebelakangan ini terdapat banyak pilihan fesyen muslimah yang boleh digayakan sekali gus dapat menyempurnakan tuntutan agama yang mewajibkan wanita untuk menu­tup aurat,” ujar wajah pame­ran pengantin Jom Kahwin ini.

Menjadikan model antarabangsa, Halima Aden sebagai idolanya dalam bidang peragaan, bekas peserta Dewi Remaja 2009/10 ini me­ngakui kebolehan wanita tersebut mengangkat martabat wanita Muslim di peringkat antarabangsa dalam bidang peragaan dan fesyen amat dikagumi.

“Sebelum ini masyarakat du­nia agak skeptikal untuk mene­rima wanita berhijab namun kini siapa sangka Halima bukan sahaja berjaya mencipta sejarah apabila menjadi Anggota Kongres Wanita pertama Amerika Syarikat ber­agama Islam bahkan turut menjadi inspirasi wanita dunia,” ujarnya yang menggunakan nama pentas Fara Kareem Chin.

Bercerita lanjut tentang peng­libatannya dalam bidang pe­ragaan, ketika mula-mula bergiat aktif sebagai model, dia pernah mendapat tunjuk ajar ‘catwalk’ oleh peragawati terkenal, Aleeza Kassim.

“Melalui kelas tersebut, saya banyak belajar selok belok tentang bidang peragaan. Saya pernah berdepan dengan insiden di mana hampir terjatuh ketika melakukan ‘catwalk’ namun mujurlah hal ter­sebut bukan berlaku ketika berada di atas pentas,” cerita mo­del­ ber­ketinggian 159 sentimeter ini.

Lebih lima tahun bergiat aktif sebagai model, wajahnya sering kali muncul menghiasi majalah fesyen tempatan, diberi kepercayaan mem­peragakan persalinan rekaan pereka fesyen terkenal serta iklan jenama antarabangsa seperti Samsung, Schwarzkopf dan sebagainya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas