Artikel

Israel cuba butakan kebenaran

- Diterbit 22 November 2019 6:23 AM MYT

SEMALAM (Rabu), penulis berasa bangga dengan langkah wartawan veteran, Ku Seman Ku Hussain bersama isterinya, Rozais Anamy, yang juga seorang penulis bebas memuat naik gambar mereka berdua dengan sebelah mata bertampal.

Kata Ku Seman, tindakan itu adalah bagi menunjukkan solidariti untuk Muáth Amarneh, wartawan Palestin yang matanya ditembak tentera Israel di Tebing Barat pada 15 November lalu.

“Kebenaran yang di­sampaikan Muath Amarneh tidak terhenti malah terus tersebar ke segenap pelosok dunia. Kebenaran tidak mati ketika kemanusiaan semakin hilang.

“Gambar ini tanda solidariti kami kepada Muath Amarneh yang mempertahankan keluhuran jurnalisme yang cuba dibutakan dan dimatikan,’’ kata Ku Seman.

Tindakan sebelah mata bertampal itu seiring dengan kempen solidariti ditunjukkan pengamal media di seluruh dunia buat Muath Amarneh.

Menerusi kempen dalam talian itu, pelayar memuat naik gambar dengan memakai penutup mata atau menutup sebelah mata mereka berserta tanda pagar #MuathEye, #EyeofTruth atau #MuathAmarneh yang kini menjadi trend di laman sosial.

Gambar dan video Muath Amarneh, 35, di­bawa ketika pendarahan pada mata kirinya selepas ditembak terus dimainkan warganet sebagai bantahan terhadap keganasan rejim Zionis itu.

Kekejaman terhadap wartawan yang hanya bertanggungjawab melaporkan sesuatu insi­den perlu menjadi pembuka mata kepada du­nia bahawa keganasan Israel sudah tidak dapat ditutup lagi.

Malah rejim itu juga tidak mempedulikan soal hak asasi manusia apabila Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Manusia Palestin (ICHR) juga mengalami kemusnahan ibu pejabatnya di Bangunan Harara, Gaza akibat serangan peluru berpandu pada 12 November lepas.

Hak asasi manusia sering dicabuli dan dilanggar semasa konflik bersenjata berlaku dan orang awam sering kali menderita akibat konflik sebegini.

Perbuatan keganasan tersebut jelas merupakan pelanggaran terhadap Perkara 3, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang menyatakan setiap orang adalah berhak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan diri.

Walaupun kuasa-kuasa besar dunia se­olah-olah buta mata terhadap kekejaman Israel, masyarakat awam di seluruh sebenarnya sudah semakin celik tentang isu sebenar penindasan rejim itu.

Wartawan dengan mata yang bertampal menjadi lambang bahawa rejim Israel dan kuasa besar yang mendokong mereka tidak harus lagi buat-buat buta mata. Masanya akan tiba­nya untuk kuasa penindas itu lenyap dari muka bumi ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas