Utama

Hentikan berita palsu insiden kemalangan mengakibatkan maut – PDRM

PDRM
2019.
- Diterbit 12 Ogos 2019 12:51 PM MYT

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa orang awam supaya menghentikan penyebaran berita palsu berhubung insiden kemalangan yang berakhir dengan kematian di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Kajang, Selangor pada 10 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor menegaskan, tindakan tersebut mengakibatkan pelbagai spekulasi dibuat di rangkaian komunikasi dan platform media sosial.

Malah, ujar beliau, pihaknya turut mengesan usaha sesetengah pihak yang cuba memanipulasikan insiden tersebut bagi membangkitkan sentimen perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan masyarakat serta ketenteraman awam di negara ini.

“PDRM telah mengeluarkan beberapa kenyataan rasmi mengenai punca kejadian tersebut dan tangkapan telah dibuat ke atas suspek-suspek terbabit.

“Pihak polis turut merayu supaya saksi-saksi yang berada di tempat kejadian untuk tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mazlan turut menasihati masyarakat agar tidak menyalahgunakan medium komunikasi dengan cara yang boleh memecahbelahkan serta mengganggu gugat perpaduan antara kaum sehingga menjurus kepada polemik perkauman dan keagamaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas