Berita

Meriahkan Hari Wilayah Persekutuan

KHALID bersama Rosida menunjukkan poster jadual program yang bakal berlangsung sepanjang Hari Wilayah Persekutuan 2020.
- Diterbit 31 Januari 2020 7:55 AM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak 29 program telah dirangka Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bagi menyemarakkan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2020 bagi mengeratkan hubungan warga ibu kota, Putrajaya dan Labuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, kesemua program itu dilaksanakan di bawah lima kluster utama iaitu Kluster Pengiktirafan, Kluster Mesra Rakyat, Kluster Sukan dan Rekreasi, Kluster Ilmiah dan Kerohanian dan Kluster Inisiatif Mensejahterakan Rakyat.

“Antara program yang dilaksanakan dibawah Klus­ter Pengiktirafan adalah Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada kira-kira 200 orang penerima yang akan dilakukan di Istana Melawati, Putrajaya.

“Di bawah Kluster Mesra Rakyat akan dilaksanakan Kenduri Rakyat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta program agensi KWP, PLANMalaysia bersama Komuniti dan Majlis Perasmian KIOSK@11,” katanya kepada pemberita mengenai sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di sini baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Setia­usaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar.

Khalid berkata, terdapat 11 program yang dirangka di bawah Kluster Sukan dan Rekreasi yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

“Antara program yang dianjurkan ialah Karnival Sukan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, Larian Wilayahku, Putrajaya Base Jump dan Art by The Bay Festival.

“Selain itu, terdapat juga program Putrajaya Wall Climbing Challenge, Pertandingan Memancing Putrajaya, Putrajaya Wind Orchestra Competition, Jejak Warisan @ Pintasan Saloma Fun Walk, Budi Wilayahku Half Marathon dan Run for Wilayah,’’ katanya.

Tambah Khalid, terdapat acara yang turut dianjurkan di bawah Kluster Ilmiah dan Kerohanian iaitu Khutbah Khas sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan di semua masjid dan surau Jumaat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada 31 Januari ini.

Kata Khalid lagi, program Prima Dakwah Wilayahku pula akan menampilkan tokoh agama dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad yang akan berceramah di Stadium Bola Sepak Cheras dan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Melalui program ini, tema perpaduan, keamanan dan kesatuan diketengahkan supaya mesej tersebut dapat dihayati bersama oleh warga Wilayah,” kata­nya.

Menurut Khalid lagi, melalui Kluster Inisiatif Mensejahterakan Rakyat, pihaknya akan menganjurkan kira-kira tiga buah program antaranya Program Ziarah Kasih SHWP 2020, Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SHWP dan Program Inisiatif Wilayah Peduli WPKL.

Kata Khalid lagi, perbelanjaan bagi penganjuran kesemua program itu adalah kira-kira RM1.5 juta sahaja untuk tahun ini.

“Berbanding dengan penganjuran tahun 2019, kita membelanjakan kira-kira RM2.5 juta dan tahun ini kita perlu kurangkan lagi dalam satu pendekatan yang berhemah untuk berjimat cermat,” katanya.

Kata Khalid lagi, pihaknya turut menggalakkan penglibatan pihak swasta melalui program CSR sepanjang sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini.

“Program Inisiatif Wilayah Peduli WPKL dan Ziarah Kasih adalah sebagai galakan kepada pihak swasta untuk melakukan program CSR,’’ katanya.

Kata beliau, pihaknya juga dijangka melancarkan kembali Tabung Penyelenggaraan Wilayah Persekutuan pada minggu hadapan.

“Tabung ini khusus kepada pihak swasta untuk menyumbang bagi kerja-kerja CSR agar dapat dilakukan lebih berkesan.

“Pihak swasta yang ingin menyumbang ke dalam tabung ini akan diberikan pelepasan cukai,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas