Berita

25 sekolah Putrajaya ditutup esok

JEREBU PUTRAJAYA
KEADAAN di Putrajaya yang berjerebu dengan bacaan IPU sangat tidak sihat melebihi 200 sehingga jam 5 petang tadi. - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 16 September 2019 1:54 PM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Semua 25 sekolah di Putrajaya akan ditutup esok susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) melebihi 200 setakat jam 5 petang tadi.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Farizah Ahmad berkata, berdasarkan bacaan IPU yang sudah melebihi 200 mulai jam 5 petang hari ini, semua sekolah di Putrajaya akan ditutup esok.

Terdahulu, Timbalan Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Dr. Roslan Hussin menyatakan terdapat 11 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan 14 Sekolah Kebangsaan (SK) di Putrajaya yang akan ditutup jika IPU mencecah paras lebih 200.

Setakat jam 7 malam tadi, empat stesen di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat.

Berdasarkan bacaan yang dipaparkan laman web http://apims.doe.gov.my, IPU di stesen Johan Setia, Selangor mencatatkan bacaan 229 dan Putrajaya (205) dan dua lagi di Sarawak, masing-masing di Kuching (226) dan Sri Aman (207). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas