Berita

Hargai kewujudan masyarakat OKU

- Diterbit 27 Jun 2019 10:52 PM MYT

MUKADDIMAH

KETIKA membuat temujanji bersama aktivis orang kurang upaya (OKU) penglihatan, ROSLI IBRAHIM minggu lalu, penulis pastikan tiba tepat pada waktunya. Kami memilih untuk berjumpa di Restoran FS Corner bersebelahan Stesen LRT di Masjid Jamek, Kuala Lumpur.

Ditakdirkan kami tiba serentak, dari belakang saya dapati Rosli begitu cekap dan melintas jalan dengan pantas sehingga penulis tidak terkejar. Dari situ penulis dapat membuat penilaian sejauh mana accessibility kawasan ibu kota untuk orang OKU.

Dalam pertemuan selama satu jam bersama Pengarang Wilayahku, HELMI MOHD. FOAD, dia meluahkan pelbagai pandangan mengenai keperluan yang harus disediakan untuk membantu golongan OKU di negara
ini.

WILAYAHKU: Minggu lalu Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad ada menyentuh soal kerajaan mahu memperluaskan kemudahan untuk golongan OKU seperti di kawasan Brickfields.

ROSLI: Pertama bagi saya, kerajaan harus selesaikan masalah jalan pecah kerana ia beri kesan kepada ekonomi dan sosial. Golongan OKU susah hendak bergerak di kawasan tersebut, mahu ke kedai runcit,
kedai makan atau mahu lepak bersama-sama kawan-kawan agak payah.
Satu lagi masalah jalan sehala di Brickfields ini. Ia muncul sejak tahun 2010. Sudah banyak kali cakap tentang bandar selamat kepada kerajaan dahulu dan sekarang, sama saja. Kita kena buat konsep bandar selamat di kawasan orang buta terbanyak seperti Brickfields. Sebenarnya buat jalan sehala untuk Little India bukan untuk kemudahan orang OKU penglihatan. Sebenarnya Brickfields tempat orang buta sejak tahun 50-an lagi.
Tetapi jalan sehala itu beri kesan buruk kepada orang buta dalam tempoh 10 tahun ini. Dulu banyak kedai urut, orang buta ada pekerjaan. Namun sekarang orang susah hendak datang selepas jalan sehala, jadi kurang pelanggan. Bila kedai tidak ada pelanggan terpaksa tutup dan OKU penglihatan hilang pekerjaan. Jadi terpaksalah balik jual tisu.

WILAYAHKU: Jalan sehala itu mungkin untuk mengatasi jumlah trafik yang tinggi.

ROSLI: Jalan di situ semakin kecil apabila kawasan pejalan kaki ibesarkan. Namun aliran kereta masih sama, jadi tidak ada kelainannya. Jadi apa perlu jadi jalan sehala? Sebelum pilihan raya dahulu, mereka buat pembinaan tidak tutup lubang. Brickfields ini setiap kali pilihan raya jadi kawasan orang pecah jalan. Memang sejarah Brickfields dahulu pada zaman British tempat industri batu-bata. Kawasan tersebut jadi tempat British buang masyarakat marginal seperti orang buta, pelacur dan setinggan. Itu dahulu dasar British.

WILAYAHKU: Setakat ini bagaimana dengan maklum balas kerajaan untuk menjadikan Brickfields sebagai Blind City?

ROSLI: Setakat ini belum lagi. Kalau tidak menjadi Blind City, cukuplah jadi kawasan bebas halangan. Semua orang tahu Brickfields kawasan penempatan orang buta tetapi masa ada orang parking motosikal merata-rata dan buat double parking. Adakah itu dikatakan sebagai kawasan bebas halangan? Sedangkan kalau parking atas pejalan kaki, orang buta lalu dia akan terlanggar, motosikal boleh jatuh dan mungkin akan berlaku pergaduhan. Kadang-kadang masyarakat tidak peduli tentang peraturan larangan meletakkan kenderaan di atas laluan kuning untuk orang buta. Sebab kita cakap tentang accessibility, kita perlu cakap tentang akses fizikal dan non fizikal. Sediakan petak parking OKU atau plat kuning untuk kerusi roda tetapi yang jarang dibicarakan ialah tentang sikap. Terbinanya parking OKU tidak sebabkan automatik masyarakat sedar tentang kepentingan OKU. Jadi tugas media untuk bangkitkan kesedaran supaya halangan OKU dapat dihapuskan. Perlu ada kempen besar-besaran. Kementerian Wilayah Persekutuan perlu buat kempen melalui video misalnya premis awam memasang iklan tentang OKU. Kena ada papan tanda seperti ‘Santuni OKU’. Kadang-kadang kita rasa perkara itu tidak penting kerana rasa orang tersebut (OKU) tidak wujud.

WILAYAHKU: Mungkin ada segelintir pihak kata, jumlah
OKU tidak ramai jadi kemudahan untuk golongan tersebut tidak diberikan tumpuan.

ROSLI: Sebenarnya kata-kata sedemikian perlu dikaji. Misalnya alah…OKU tidak ramai. Tidak ramai itu sebab kita tidak pernah jumpa atau kita tengok data statistik tidak ramai? Kalau ikut statistik antarabangsa, sebanyak 15 peratus daripada populasi sesebuah negara adalah OKU. Katalah penduduk Malaysia, kira-kira 30 juta orang. 15 peratus berapa? Kira-kira empat juta, bayangkan mereka tidak ada pekerjaaan, tidak dapat peluang pendidikan. Tidak berfungsi sebagai manusia. Apa akan jadi kepada sesebuah negara? Pengetahuan itu penting supaya masyarakat bersedia. Semua ada risiko seperti memandu kereta tetapi masyarakat perlu ada ilmu pengetahuan memandu yang betul untuk elak kemalangan. Jika seseorang mendapat anak OKU, jika mereka memiliki pengetahuan yang betul, bagaimana hendak uruskan anak tersebut maka anak tersebut akan menjadi manusia dan berfungsi kepada masyarakat. Dia tahu kena hantar ke sekolah, maka ia akan berfungsi kepadamasyarakat.

WILAYAHKU: Saudara banyak kritik golongan agama dalam soal OKU ini.

ROSLI: Ya, saya anggap orang agama teruk, padahal kalau tafsir Surah Abasa, secara mudah nak ajar apa. Tuhan kata kena bagi pendidikan kepada Abdullah Ummi Maktum. Bukan cerita kau berpaling wajah atau tidak. Ia secara automatik Tuhan ajar tentang dan uji tentang orang bersegera untuk mendapat petunjuk. Al-Quran sudah bina konsep pendidikan tetapi kita hendak tanya sejak bila pendidikan agama untuk orang OKU penglihatan bermula? Sejak tahun 50-an. Sejak bila kita tahu ada al-Quran Braille di Malaysia? Baru dalam era tahun 2000. Sedangkan al-Quran Braille sudah sampai ke Malaysia sejak sebelum merdeka, 1953. Kalau hendak cerita sedih, guru masa itu nak kreatif belajar agama dia potong manila kad tulisan Arab suruh sentuh. Kita akan pegang dan rasa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas