Artikel

Hargai kemudahan taman awam

KESAN vandalisme yang dilihat sejurus selepas Taman Tasik Titiwangsa dibuka untuk kunjungan orang ramai pada 15 Disember lalu. Gambar FB: Noor Fazlina Rosley
- Diterbit 19 Disember 2019 5:29 AM MYT

KEMUDAHAN taman-taman awam yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sekitar ibu kota, Putrajaya dan Labuan mempunyai signifikan tersendiri.

Infrastruktur tersebut menjadi daya tarikan kepada sesebuah bandar dengan memasukkkan elemen kehijauan dan membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Kewujudan taman-taman di tengah bandar raya juga menjadi elemen penting sebuah negara maju seperti Hyde Park, London dan Central Park, New York, Amerika Syarikat.

Taman-taman tersebut selain mempunyai landskap menarik, ia menjadi tumpuan kepada warga kota kota untuk beriadah setiap petang dan hujung minggu atau cuti umum.

Taman-taman tersebut disediakan secara percuma untuk seluruh rakyat.
Kebiasaannya taman tersebut turut memasukkan elemen tasik atau kawasan air seperti wetland bagi membolehkan aktiviti riadah dan sukan air diadakan.

Di Kuala Lumpur, Taman Botani Perdana atau yang dahulunya dikenali sebagai Taman Tasik Perdana yang sudah berusia lebih 100 tahun menjadi kawasan hijau di tengah ibu kota yang dipenuhi bangunan pencakar langit. Ia melalu proses menaik taraf sebanyak tiga fasa.

Putrajaya pula mempunyai wetland yang telah diiktiraf sebagai tapak demonstrasi ekohidrologi UNESCO sejak sembilan tahun lalu.

Terbaharu, kerajaan membuka semula Taman Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur yang menelan RM99.8 juta bagi tujuan menaik taraf. Kemudahan baharu yang disediakan di taman tersebut membolehkan warga kota beriadah dan menikmati ketenangan dengan lebih selesa.

Keseluruhan kemudahan berkenaan menampil imej infrastruktur kelas pertama.

Jutaan dana awam yang dibelanjakan untuk tujuan tersebut dapat disaksikan dengan kewujudan taman-taman berkenaan.

Sudah tentu kos penyelenggaraannya juga bakal memakan belanja yang tinggi.

Namun sikap yang ditampilkan segelintir masyarakat tidak memperlihatkan mereka mempunyai minda kelas pertama sejajar dengan kemudahan berkualiti yang disediakan.

Ada tangan-tangan ‘gatal’ sengaja menjahanamkan infrastruktur awam itu menyebabkan usaha keras yang dilakukan pihak PBT seolah-olah tidak dihargai.

Malah sebenarnya, ia bakal merugikan orang ramai sendiri kerana kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja tambahan bagi membaiki kemudahan yang rosak itu.

Kita harap orang ramai dapat saling membantu untuk memastikan kebersihan dan kemudahan disediakan di taman-taman awam dapat dijaga serta dilindungi daripada kegiatan vandalisme.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas