Artikel

Dividen ASB RM 5.50 sen seunit

ZETI ketika mengumumkan dividen ASB 2019 di Menara PNB, Kuala Lumpur, Rabu lalu
- Diterbit 19 Disember 2019 5:35 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd., (PNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 5 sen seunit dengan bonus 0.5 sen bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun 2019 yang terendah di dalam sejarah.

Pengagihan dividen dan bonus itu melibatkan pembayaran RM9 bilion kepada 10 juta pemegang unit yang memiliki 167.2 bilion unit.

Ini menjadikan jumlah pengagihan pendapatan dan bonus terkumpul dana RM152 bilion telah dibayar oleh PNB kepada pemegang unit sejak tahun 1990.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, tahun 2019 merupakan tahun yang mencabar bagi perniagaan secara amnya di tengah-tengah cabaran luar dan pertumbuhan global yang perlahan.

“Ianya juga diakibatkan kemeruapan pasaran kewangan dan ketegangan perang perdagangan diantara Amerika Syarikat-China yang memberi kesan langsung terhadap pasaran.

“Selain itu, dengan kelembapan perdagangan global yang semakin bertambah serta permintaan luar dan prestasi eksport di pasaran serantau, persekitaran pasaran menjadi lebih mencabar pada tahun 2019 telah memberi kesan ke atas prestasi kewangan kumpulan,’’ katanya dalam sidang akhbar pengumuman dividen ASB di ibu negara, Rabu lalu.

Mengulas lanjut, ASB dapat memberikan jumlah pendapatan sebanyak RM9 bilion pada tahun kewangan 2019 daripada keuntungan yang direalisasikan oleh peningkatan pelaburan antarabangsa seperti yang dirancang di bawah rangka kerja Alokasi Aset Strategi PNB.

“Bagi 11 bulan pertama tahun ini, jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) PNB meningkat 5.7 peratus tahun ke tahun kepada RM311.9 bilion sementara pendapatan bersih pro forma berjumlah RM10.7 bilion.

“Unit dalam edaran juga berkembang 7.5 peratus kepada 253.8 bilion unit di seluruh 14 dana dengan PNB merekodkan jumlah pembayaran sebanyak RM13.2 bilion merentasi semua dana pada tahun 2019,’’ katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif kumpulan yang baru dilantik, Jalil Rasheed menegaskan, dana itu telah menjalankan kajian jangka menengah mengenai pelan strategik lima tahunnya, sepanjang tahun, dengan dana kini mencari untuk memperbaiki bidang tumpuan utama iaitu peruntukan aset strategik, kecairan optimum pengurusan, pengurusan risiko perusahaan dan transformasi organisasi.

“PNB akan meningkatkan usaha untuk mempelbagaikan portfolio pelaburannya, termasuk strategi untuk meningkatkan pendedahan global,’’ katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas