Agama

Memahami konsep sarwajagat Islam

- Diterbit 19 Disember 2019 5:23 AM MYT

Islam ialah agama yang lengkap dan sepadu. Hal inilah yang dikatakan sarwajagat Islam atau istilah inggerisnya sebagai ‘world view Islam.

Kefahaman ini lebih perlu dikonsepsikan pada masa kini, setelah Islam telah mulai membangun semula kira-kira dalam tahun 70-an dahulu dengan konsep dan wawasan yang bermula dengan iman kepada Allah dan Rasul serta rukun iman yang lain, dengan ibadat khusus terutamanya fardu ain.

Ketika itu orang Islam mulai memahami dengan serba mudah tentang falsafah agama dan pengertian agama sebagai tatacara hidup atau al-din.

Kefahaman agama secara holistik sering tidak dibicarakan, sama ada dalam pendidikan umum dan khusus, siaran TV dan radio, ceramah atau seminar malah dalam program agama dan sebagainya yang nampaknya cara kita memahami agama kita sebagai al-din tidak seimbang.

Program TV, Radio dan tulisan-tulisan mengenai agama kebanyakannya hanya menekankan tentang ritual, ibadat khusus, doa, zikir, wirid dan sebagainya.

Malah lebih dari itu buku-buku ‘agama’ seolah-olah tidak perlu berbicara tentang kehidupan di dunia yang menyentuh persoalan ekonomi, teknologi, industri, poliitik, etika dan semua bidang kehidupan di dunia yang ada kalanya dilihat sebagai sesuatu yang boleh melupakan orang Islam tentang akhirat dan kehidupan kerohanian mereka.

Kita akan ditinggalkan dalam masjid-masjid atau surau-surau kita sahaja, dilalaikan oleh musuh dengan memerangkap kita dalam alam rohani sahaja

Kita tidak menentang amalan agama tradisional. Kita menerima kelebihan Islam dalam segala kehidupan kita, ibadat merupakan satu amalan yang asas, doa merupakan otak atau teras ibadat, zikir adalah penawar, ibadat khusus adalah merupakan perintah Allah dan Rasul-Nya yang tidak boleh ditinggalkan. Hal ini amat kita junjung dan yakin.

Namun apabila penekanan hanya diberikan sepenuhnya terhadap aspek kehidupan ini, maka kita akan ketinggalan daripada arus perdana kehidupan yang serba mencabar dan maju.

Kita akan terpinggir dari kemajuan teknologi baharu dan lam ekonomi dunia.

Kita akan ditinggalkan dalam masjid-masjid atau surau-surau kita sahaja, dilalaikan oleh musuh dengan memerangkap kita dalam alam rohani sahaja.

Sedangkan mereka mengambil kesempatan mengaut kekayaan dan menindas pemikiran kita yang ada kalanya menyebabkan umat Islam merasa tertekan dan teraniya lantas mendorong mereka bangun berjihad, membunuh mereka yang dilihat sebagai musuh atau membunuh sesama sendiri yang dianggap sebagai musuh walaupun mereka adalah umat yang seagama.

Lengkap

Kita sebagai orang Islam haruslah cuba memahami apakah AL-DIN itu. Apakah maknanya agama sebagai al-din yang berarti cara hidup yang lengkap dan menyeluruh.

Apakah dengan beragama kita akan hanya menumpukan perhatian sepenuhnya kepada satu bahagian dalam agama sahaja iaitu bahagian kerohanian dan ibadat khusus? Apakah maknanya doa kita yang meminta kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat?

Di manakah letaknya falsafah dan cara hidup Islam yang terkandung di dalam firman Allah yang menuntut kita supaya berusaha dalam bidang yang dikurniakan Allah kepada kita untuk akhirat, tanpa melupakan nasib kita di dunia ini?

Kalau kita meninjau kepada sejarah silam Islam, kita amat berbangga dengn zaman kegemilangan umat Islam dan para pemikir serta ahli falsafahnya yang mencipta ilmu sains, perubatan, falak, ilmu bintang, matematik, dan sebagainya.

Kita bernostalgia dengan kemajuan dan sumbangan mereka kepada dunia, ketika umat lain masih berada dalam zaman kemunduran.

Namun aktiviti kita untuk mencapai tamadun itu pada masa kini tidak banyak, malah mungkin tidak ada langsung yang kita gerakkan dalam mengulangi kemajuan, peradaban dan tamadun umat kita dahulu.

Amalan agama ialah tentang kefahaman kita yang menyeluruh terhadap pengertian agama dalam aspek pembangunan manusia yang sempurna dalam dunia ini.

Datuk Dr. Ismail Ibrahim merupakan bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dan bekas Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas