Biz

Harga minyak sawit catat paras tertinggi

- Diterbit 27 Oktober 2020 2:13 PM MYT

HARGA minyak sawit mentah (MSM) dijangkakan terus meningkat melepasi paras RM3,000 setan, didorong faktor permintaan pasaran yang tinggi terhadap komoditi tersebut.

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, permintaan tinggi daripada pembeli termasuklah India dan China antara faktor harga MSM terus menunjukkan tren peningkatan ketara melebihi paras RM3,000 satu tan.

Beliau berkata, harga purata MSM telah melonjak RM1,112.50 atau 55 peratus kepada RM3,134.00 satu tan pada 26 Oktober lalu, merupakan paras tertinggi dicatatkan tahun ini berbanding harga terendah yang dicatat RM2,021.50 satu tan, pada 12 Mei lalu.

“Permintaan dari India dijangka terus meningkat bagi menambah bekalan stok minyak sayuran di pasaran domestiknya sebagai persiapan untuk Festival Diwali pada bulan November ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Ahmad Jazlan, permintaan MSM dari China juga dijangka terus meningkat menjelang Festival Pertengahan Musim Luruh dan Minggu Keemasan bermula Oktober ini.

Selain itu, katanya faktor pengukuhan harga bagi minyak kacang soya (SBO) di U.S. Chicago Board of Trade (CBOT) dan China’s Dalian Commodity Exchange turut menyokong kenaikan harga MSM ketika ini.

“Harga MSM turut dipengaruhi oleh pergerakan harga minyak kacang soya kerana kedua-duanya bersaing dalam pasaran minyak sayuran global.

“Peningkatan harga dicatatkan ini bukan sahaja menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, malah memberi manfaat kepada pekebun dan pemain industri Sawit di Malaysia yang ketika ini sedang bergelut sumber kewangan akibat penularan pandemik COVID-19”.

“Diharap harga sawit terus kekal pada paras yang melepasi RM3,000 setan demi kelangsungan sawit negara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas