Berita

Harga benih bunga cecah RM5,000 sepeket

KAMARULZAMAN (kiri) bersama hortikulturis, Nor Azaz Abdul Aziz menunjukkan contoh benih bunga semusim yang diimport mencecah harga RM5,000 sepeket.
KAMARULZAMAN (kiri) bersama hortikulturis, Nor Azaz Abdul Aziz menunjukkan contoh benih bunga semusim yang diimport mencecah harga RM5,000 sepeket.
- Diterbit 2 Ogos 2019 4:41 AM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD
[email protected]

PUTRAJAYA – Pengusaha horti­kultur menyambut baik usaha pihak kerajaan untuk meneroka industri pengeluaran benih bunga hiasan landskap yang sebelum ini terpaksa diimport dari beberapa negara seperti Belanda.

Pengurus projek Tunas Nasional Holdings Sdn. Bhd., Kamarulzaman Mohamad berkata, pada masa ini pihaknya terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi untuk membawa masuk benih-benih bunga semusim.

‘’Walaupun bunga seperti balung ayam (celosia) adalah bunga dari negara ini tetapi benihnya perlu diimport dari Jepun dan Belanda.

‘’Harganya boleh mencecah hingga RM5,000 sepeket. Harga pula bergantung kepada kadar tukaran wang,’’ katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Kamarulzaman berkata, pihaknya mengalu-alukan kajian yang bakal dilakukan untuk menghasilkan biji benih bunga semusim berkenaan kerana ia akan membantu mengembangkan industri bunga hiasan di negara ini.

Jelasnya, penyelidikan berkaitan benih bunga itu juga perlu meneliti soal ketahanan tanaman, platform dan media yang sesuai digunakan.

Jelasnya, dari segi media yang digunakan juga perlu ada kajian teliti kerana setakat ini sabut kelapa yang sesuai didatangkan dari Perak manakala tanah hitam (Holland Peat Moss) perlu diimport dari Belanda.

‘’Bunga semusim ini hanya berbunga sekali, lepas itu kena tanam yang lain. Biasanya kita perlu membuat pertukaran sebulan sekali.

‘’Benih tersebut juga perlu tahan penyakit seperti mudah kelihatan melecur sekiranya cuaca selalu hujan. Kalau dapat hasilkan benih yang boleh ta­han lama, ia lebih ekonomik,’’ katanya yang menjalan aktiviti tanaman bunga semusim di tapak semaian di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tambahnya, penanaman bunga semusim penting kerana ia melibatkan pengiktirafan dunia bagi standard sesuatu bandar seperti Putrajaya.

Kata beliau, melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan UPM dan Perbadanan Putrajaya (PPj) sejak tahun 2017, pihaknya membekalkan kira-kira 250,000 bunga semusim setiap bulan kepada PPj.

“Melalui Rakan Bakti Putra, kami mengambil pelajar-pelajar asnaf untuk bekerja sambilan di tapak semaian selain menjadi tempat penyelidikan mahasiswa UPM.

‘’Sekiranya kajian mahu dilakukan dan jika hasilnya mampu memenuhi piawaian ditetapkan, kami bersedia melakukannya. Namun ia perlukan dana yang besar,’’ katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas