Berita

Mengundi usia 18 tahun, kebangkitan anak muda

- Diterbit 2 Ogos 2019 4:51 AM MYT

Malaysia telah mencatatkan sejarah baharu apabila Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk meminda Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Pindaan itu telah disokong sebulat suara oleh pihak kerajaan dan blok pembangkang. Pindaan ini juga mendapat sokongan penuh Ahli Dewan Rakyat selepas konsultasi dibuat dengan mereka. Ini adalah tata kelola baik (good governance) yang ditunjukkan oleh Menteri PH khasnya Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Dalam hal ini, RUU asal itu pada mulanya hanya ingin meminda berkaitan menurunkan had umur mengundi daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun seperti yang terkandung dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan tetapi akhirnya setelah rundingan dibuat, RUU tersebut telah ditarik balik dan Perdana Menteri telah membentangkan RUU baharu untuk memasukkan klausa baharu berkaitan pendaftaran automatik.

Selain itu, RUU ini juga telah meminda had umur untuk seseorang ingin menjadi calon pilihan raya iaitu turut diturunkan kepada umur 18 tahun.

Pindaan ini juga akan mewujudkan kira-kira lebih 7.8 juta pengundi baharu dalam PRU-15 kelak. Ini merupakan penambahan yang besar iaitu hampir 50 peratus daripada pengundi sedia ada iaitu 14.9 juta orang. Ini bermakna setiap parti politik perlu membuat program khusus untuk anak muda untuk menarik undi mereka. Jika sesebuah parti itu gagal untuk menangani masalah mereka maka mereka akan berisiko untuk kehilangan undi.

Pola pengundian anak muda adalah menarik kerana anak muda tidak menunjukkan kecenderungan untuk mengundi berdasarkan parti. Anak muda juga tidak setia kepada sesebuah parti berbanding dengan golongan dewasa. Selain itu, anak muda juga amat aktif di media sosial dan lebih celik teknologi. Ini membolehkan mereka membuat keputusan segera dan boleh berubah-ubah termasuk pada saat akhir hari pengundian.

Pendidikan

Perkara pertama kerajaan perlu buat adalah memperkasakan sistem pendidikan politik kepada anak muda. Pendidikan politik harus bermula seawal di peringkat sekolah rendah lagi.

Ini tidak bermakna seseorang kanak-kanak itu harus diajar politik kepartian. Sebaliknya, pada tahap ini kanak-kanak perlu diajar tentang cara untuk memupuk integriti dan tanggungjawab dalam diri mereka.

Antara perkara yang boleh dimasukkan dalam silibus pelajaran adalah memupuk perasaan untuk mengasihani sesama insan tanpa mengira bangsa dan agama. Pelajaran ini adalah mustahak kerana Malaysia adalah terdiri daripada masyarakat majmuk. Malaysia tidak akan maju dengan majunya satu-satu bangsa tetapi Malaysia akan menjadi kuat sekiranya kesemua bangsa ini bersatu padu menentang perasaan dengki sesama insan yang lain.

Selain itu, mata pelajaran sivik harus diperkuatkan dalam diri mereka supaya mereka dapat menitikberatkan perasaan cintakan alam sekitar. Elemen kebersihan diri, rumah, sekolah dan persekitaran harus diajar dan dipraktikan. Mereka juga perlu diajar dengan pelajaran untuk mengelakkan kemusnahan termasuk gejala vandalisme serta penyalahgunaan dadah.

Kita berasa gembira apabila Kementerian Pendidikan telah bercadang untuk menambah silibus untuk sekolah menengah mengenai subjek Perlembagaan dan pilihan raya. Silibus dan kurikulum ini akan ditambah bagi murid tingkatan empat di sekolah menengah melalui mata pelajaran sejarah. Sekarang ini pelajaran itu hanya mengandungi 5 muka surat dan akan ditambah menjadi 19 muka surat mulai tahun hadapan. Manakala pelajaran berkaitan Perlembagaan akan ditambah menjadi 17 muka surat.

Kita berharap semoga apabila murid-murid ini mencapai umur 18 tahun, mereka akan mempunyai sedikit panduan mengenai dasar negara dan sistem pemerintahan supaya undi mereka menjadi benar-benar bermakna.

Bagi anak muda, inilah masanya untuk mereka bangkit turut mencorakkan sistem politik dan pentadbiran negara. Kita tidak mahu anak muda hanya mengundi berdasarkan sentimen kepartian semata-mata tanpa mengambil kira kepentingan negara.

Anak muda juga akan lebih berpeluang untuk mengambil bahagian untuk sama-sama memajukan negara.

*Dr. Zulqarnain Lukman merupakan seorang peguambela, peguamcara dan peguam syarie

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas