Selera

Nasi Laduni Diraja himpun 7 jenis beras dan rempah terpilih

|Laksa Utara|Nasi Ayam
- Diterbit 18 September 2020 6:02 AM MYT

KEMAHIRAN memasak bukan bakat yang dimiliki oleh setiap wanita. Hanya insan terpilih yang dianugerahkan kelebihan ini.

Namun, ia perlu dipraktiskan setiap hari ibarat mengasah pisau supaya kekal tajam. Begitulah prinsip Kak Rose yang kini menguruskan kedai makannya sendiri.

Bermula dari dapur di rumah, wanita kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini menganggap kepandaiannya memasak pelbagai menu bukan sekadar bimbingan kedua orang tuanya.

Tapi dia sendiri kena kuat berusaha menambahbaik setiap resipi supaya sesuai dengan cita rasa ramai.

Menu utama Kak Rose di kedainya yang menjadi sebutan ramai adalah Nasi Laduni Diraja. Hidangan ini memang tidak asing bagi penduduk-penduduk di sekitar bandar Kajang, Selangor. Nasi berwarna kuning diraja ini merupakan campuran tujuh jenis beras dan rempah terpilih yang bermutu tinggi.

Pelanggan boleh memilih sama ada nasi laduni dimakan dengan gulai kawah atau nasi laduni dengan rendang tok. Sayur jelatah dan papadom juga disertakan sekali.

Nasi Laduni ini digemari oleh semua lapisan masyarakat kerana rasanya yang tidak terlalu berat. Ia sesuai dimakan pada
bila-bila masa. Harganya cuma RM8.90 sepinggan kalau berlaukkan gulai kawah.

Manakala nasi laduni dengan rendang tok dijual pada harga RM12.00.

Apa yang menarik, nasi ini boleh dikongsi oleh tiga orang dewasa kerana kuantiti hidangannya yang banyak. Menu kedua yang laris di kedai Kak Rose ialah Nasi Daging Utara. Bagi mengekalkan rasa dan tekstur yang enak, masakan ini juga
menggunakan beras basmathi terpilih.

Dengan harga RM8.00 bagi setiap hidangan, Kak Rose mahu pelanggan-pelanggannya menikmati nasi berperisa yang
dimasak dengan ketulan daging nan segar dan berjus.

Nasi ini dihidangkan dengan air asam kerisik yang pekat dan semangkuk sup buat menambah selera. Dengan kombinasi rasa pedas, manis dan masam, dia yakin orang ramai akan datang lagi untuk menikmati hidangan ini sepuas-puasnya.

“Sebagai peniaga saya sangat mementingkan kesedapan sesuatu makanan. Kalau kita masak sedap, pelanggan akan datang lagi.”

Itulah kepuasan diri saya,” jelas Kak Rose.

Sebenarnya perniagaan Kak Rose di Bazar Rakyat Masjid Jamek Kajang, bermula dengan hidangan Nasi Ayam Terbalik.

Idea itu muncul untuk membantu pelangganpelanggan yang mencari nasi ayam yang murah tapi sedap!

Berkongsi keenakan resipi ini, menurut Kak Rose, nasi yang dihasilkannya begitu lembut kerana dikukus dalam tempoh yang tertentu. Tujuannya bagi memastikan nasinya dimasak dengan sempurna.

Perapan isi ayam dan sosnya pula tidak terlalu pedas. Sesuai untuk kanak-kanak dan mereka yang tidak tahan pedas.

Terdapat juga beberapa lagi makanan yang dijual di kedai Kak Rose. Antaranya Mi Kari yang dibubuh udang, isi ayam,
kerang, telur rebus dan sayur.

Harganya cuma RM6.00. Tapi kesedapan kuah karinya yang dituang penuh semangkuk bagaikan tidak kenyang untuk dihirup.

Anda juga boleh mencuba hidangan Laksa Utara yang berharga RM5.00. Dengan kuah yang pekat dan telur rebus sebiji serta ramuan yang lain, anda akan menikmatinya hingga tinggal mangkuk kosong.

Selain daripada itu, Kak Rose juga menjual Bihun Sup Utara ayam atau daging yang berharga RM5.00. Nasi tomato juga mendapat permintaan. Dengan harga RM6.00 anda akan dihidangkan ayam masak merah yang sedap dan berperisa.

Terdapat juga Nasi Lemak Kukus, Nasi Beriani serta minuman panas dan sejuk. Nasi bajet RM4.00 juga mendapat sambutan.

Pelanggan boleh memilih sama lauk ayam atau daging dan sayur. Air minuman diberi percuma. Kedai makan ini  beroperasi pada hari Selasa hingga Ahad. Dari jam 7.00 pagi hingga 6.00 petang.

Selain berniaga di kedai, Kak Rose juga menerima tempahan katering untuk pelbagai majlis. Anda boleh menghubungi nombor 011- 5123 6298/016-394 9761 untuk keterangan lanjut.

ANTARA pelanggan tetap Warung Kak Rose

Produk Baru Rendang Tok Impian wanita ini untuk mempunyai produk makanannya sendiri di pasaran tercapai bila Kak Rose berjaya menghasilkan produk Rendang Tok dalam bentuk pek.

Istimewanya, produk ini boleh tahan selama 2 tahun. Tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk. Ia juga mudah dibawa ke
mana-mana.

Pek Rendang Tok ini mempunyai empat jenis.
1. Rendang Tok Daging Lembu
2. Rendang Tok Rendang Hati
3. Rendang Tok Rendang Paru
4. Rendang Tok Rendang Limpa

Cara penyediaannya amat mudah. Cuma rendam pek ini di dalam air panas selama 4-5 minit. Kemudian buka bungkusannya dan hidangkan dalam pinggan. Rendang ini sedia dimakan dengan nasi, roti dan sebagainya.

Kak Rose juga pernah dikenali sebagai Chef Rose dan menghasilkan beberapa buah buku masak terbitan Alaf 21 iaitu anak Syarikat Grup Buku Karangkraf.

Demo masak kendaliannya pernah disiarkan dalam majalah Mingguan Wanita.

Malah dia juga menyediakan kelas-kelas memasak. Antaranya kelas membuat burger, bebola ikan, mi kuning, nasi beriani, nasi lemak dan kuih-muih. Sambutan orang ramai sangat menggalakkan.

Malah anda boleh melihat rakaman demo masaknya di Facebook miliknya Ros Har Tmtk.

Sepanjang penglibatannya dalam bisnes makanan, jatuh bangun baginya adalah perkara biasa. Alah bisa tegal biasa
orang kata.

Pengalaman ini menemukannya dengan individu dan masyarakat bawahan yang hidup susah.

Mereka sebenarnya bercita-cita besar tapi tidak mendapat sokongan yang sepatutnya.

“Bagi perancangan seterusnya, saya berhasrat membuka bisnes francais untuk golongan asnaf. Sekurang-kurangnya mereka boleh berusaha sendiri dan tidak lagi mengharapkan simpati orang ramai lagi.” Itulah impiannya yang akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Mee Kari Udang
Nasi Ayam Terbalik
Laksa Utara
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas