WK2

PPj komited banteras peniaga ‘rambo’

PENIAGA rambo di Dataran Putra akan dikenakan amaran lisan sebelum tindakan kompaun dan sita diambil.
- Diterbit 19 November 2021 8:07 AM MYT

DEMI menjadikan kawasan Dataran Putra selamat untuk orang awam bersiar-siar, pihak penguat kuasa Perbadanan Putrajaya (PPj) giat menjalankan pemantauan dan rondaan secara berkala.

Terbaharu satu pemantauan dalam membanteras penjaja tanpa lesen atau lebih dikenali dengan panggilan ‘rambo’ telah dilakukan di sekitar Dataran Putra bermula pukul 6 petang sehingga 10 malam.

Seramai dua orang anggota pegawai bersama lapan orang penguat kuasa terlibat dalam membuat pemantauan dan rondaan.

Menurut Ketua Inspektor Penguat Kuasa Musa Ahmed, pemantauan dan rondaan dilaksanakan bagi memantau sebarang aktiviti awam yang dikesan menyalahi peraturan dan undang-undang ditetapkan oleh PPj.

MUSA AHMED

“Kegiatan menjaja makanan tanpa lesen, menyewakan peralatan permainan tanpa kebenaran, berkumpul atau berhimpun secara besar-besaran tanpa permit, atau beriadah membawa permainan bermotor tidak dibenarkan sama sekali di sekitar kawasan Dataran Putra.

“Antara sebab utama mengapa pihak penguat kuasa PPj tidak membenarkan penjaja untuk menjual barangan di sekitar tersebut adalah kerana ia berhadapan dengan masjid dan diwartakan untuk tidak boleh berniaga.

“Selain itu, pada kebiasaannya penjaja yang menjual merupakan orang luar dan sekiranya berlaku sebarang kejadian seperti keracunan makanan dan sebagainya, ia akan menyukarkan pihak kami untuk mengenal pasti penjual tersebut,” katanya kepada Wilayahku pada Sabtu lalu.

Menurutnya, sebanyak dua kompaun di bawah Undang-undang Kecil (UUK) 3(1) Perlesenan Penjaja WPPJ 2016 dikeluarkan kerana bertindak sebagai penjaja tanpa lesen semasa pemantauan dan rondaan yang dilakukan baru-baru ini.

Musa berkata PPj juga bertanggungjawab dalam menjalankan operasi lain seperti Operasi Halangan Premis, Operasi Bersepadu dan Agensi Sahabat, Operasi Halangan Lalu Lintas, Operasi Rumah Sesak dan Operasi Banteras Aktiviti Haram (BAH).

Jelasnya, dalam usaha memantapkan lagi penguatkuasaan sekitar Dataran Putra, anggota PPj ditempatkan secara statik di kawasan tersebut untuk memantau dan meronda sama ada berjalan kaki atau bermotor bagi mengesan sebarang kemungkinan salah laku pengunjung.

“Sebarang kesalahan yang dikesan akan diberikan teguran serta nasihat dan pesalah diminta beredar dari lokasi serta-merta atau tindakan lebih tegas seperti sitaan akan dilaksanakan,” ujarnya.

Penguat kuasa PPj mengingatkan para penjaja untuk mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh Perbadanan Putrajaya selain mendapatkan permohonan lesen penjaja yang sah untuk menjalankan perniagaan di dalam Putrajaya.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas