Berita

Hanya pengunjung berdaftar dibenar sertai KLCFM – DBKL

MAHADI (tengah) mengetuai Program Pagi Bebas Kenderaan di Kuala Lumpur yang kembali dilaksanakan pada Ahad lalu. MAHADI (tengah) mengetuai Program Pagi Bebas Kenderaan di Kuala Lumpur yang kembali
- Diterbit 26 November 2021 3:26 AM MYT

PROGRAM Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur (KLCFM) yang dihentikan sementara ekoran COVID-19 disambung semula, namun perlu mengikut norma baharu bagi mengelakkan penularan wabak tersebut.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum mengaktifkan semula program tersebut yang telah dilaksanakan sejak 2013.

“Setelah Kuala Lumpur beralih ke fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), DBKL telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan bersetuju untuk mengaktifkan semula program Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur namun perlu mengikut cara norma baharu,” katanya dalam satu kenyataan selepas merasmikan Program KLCFM di Jalan Raja Laut pada Ahad.

Jelas Mahadi, program ini yang disambung semula dilaksanakan secara tertutup
dan peserta perlu mematuhi kriteria-kriteria yang telah diberikan bagi melayakkan mereka menyertai program ini.

“Peserta perlu membuat pra pendaftaran diaplikasi Pagi Bebas Kenderaan KL terlebih dahulu dan setelah menerima Kod QR pendaftaran setelah berdaftar, mereka akan menerima sms/pesanan QR Code sehari sebelum acara.

“Peserta juga mestilah sihat dan tidak bersimptom seperti demam, selsema, batuk dan muntah dan telah lengkap dua dos vaksinasi,” katanya.

Tambah Mahadi, bagi mengelakkan penularan pandemik tersebut, peserta mestilah datang dari luar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Untuk kanak kanak, golongan ini wajib di bawah jagaan ibu bapa/penjaga yang berdaftar dan peserta juga akan memakai tanda peserta acara untuk tarikh yang berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mahadi berkata, Program Pagi Bebas Kenderaan adalah untuk mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara ini khususnya di Kuala Lumpur, menggalakkan gaya hidup sihat dan mempereratkan hubungan antara ahli keluarga.

“Program ini juga bertujuan mempromosikan gaya hidup bebas karbon yang boleh memelihara alam sekitar selaras hasrat untuk menjadikan bandar raya Kuala Lumpur sebagai bandar raya neutral karbon menjelang tahun 2050,” katanya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas