Berita

RUU Tanah Kampung Baru bakal lindungi pemilik/ pewaris tanah seumur hidup

SHAHIDAN (tengah) menekan butang sebagai simbolik pelancaran PIPKB2040 di ibu negara malam tadi.
- Diterbit 26 November 2021 5:01 AM MYT

DRAF Rang Undang-undang (RUU) Tanah Kampung Baru yang akan dibentang awal tahun hadapan akan memberi jaminan seumur hidup kepada pemilik dan pewaris tanah.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, tiada sebarang RUU yang boleh melindungi secara khusus Tanah Rizab Melayu bagi menghalang statusnya ditukar .

“RUU Tanah Kampung Baru kini dalam semakan Pejabat Peguam Negara ini diharap dapat menjaga kepentingan hak milik tanah ini sampai bila-bila dan pembangunan yang dirancang pula akan dilaksanakan secara pajakan yang perlu dipersetujui secara bersama di antara semua pihak yang terlibat.

“Sekiranya RUU ini diperkenalkan nanti, ia akan menjadi panduan kepada negeri-negeri lain untuk memperkenalkan enakmen undang-undang yang sama bagi menyelamatkan tanah Melayu ditukar milik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru 2040 (PIPKB2040) dan Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kampung Baru (PPPSKB) di ibu negara malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) Datuk Seri Rosida Jaafar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) Datuk Affendi Zahari dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Datuk TPr Lokman Omar.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, PIPKB2040 ini berupaya menjana potensi hartanah dan mentransformasi ekonomi di Kampung Baru.

“PIPKB 2040 ini juga dibentuk berdasarkan pendekatan pembangunan dan penggunaan tanah yang optimum, moden dan terancang dengan infrastruktur lengkap yang akan memberi manfaat kepada pemilik dan pewaris tanah.

“Ia bakal merubah landskap Kuala Lumpur sekali gus menjadikan Kampung Baru sebagai satu-satunya penempatan kompetitif yang memberi keutamaan kepada orang Melayu di tengah ibu negara, selaras dengan visi PIPKB 2040 iaitu Kampong Bharu sebagai “Sebuah Pusat Perdagangan dan Petempatan yang Inklusif di Kuala Lumpur”, katanya.

Tambahnya, beliau turut berusaha untuk mendapatkan peruntukan sebanyak RM754 juta bagi tujuan pembangunan serta penaiktarafan infrastruktur dan utiliti yang akan dibangunkan secara berfasa di Kampung Baru, agar pembangunan berjalan seperti dirancang. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas