Berita

Hanya penerbangan kargo dari dan ke India yang dibenarkan

- Diterbit 3 Mei 2021 5:24 AM MYT

HANYA penerbangan kargo dari dan ke India yang dibenarkan memasuki Malaysia sejak 28 April lepas, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata berkuat kuasa tarikh itu, penerbangan pesawat penumpang Malaysia Airlines Berhad (MAB) dari dan ke India tidak dibenarkan memasuki Malaysia susulan keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas dakwaan bahawa terdapat penerbangan MAB dari India dibenarkan memasuki Malaysia sehingga menjadi tular, Wee menerusi kenyataan hari ini berkata penerbangan MH yang tular itu adalah penerbangan kargo sahaja.

Wee berkata mengubah penerbangan penumpang kepada kargo atau penumpang-ke-kargo telah menjadi amalan MAB selama berbulan-bulan sebelum ini berikutan pandemik COVID-19.

“Penerbangan bagi pesawat penumpang juga kosong dan digunakan untuk membawa barangan seperti barang farmaseutikal, bekalan perubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan penghantaran,” katanya.

Beliau berkata pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), MASkargo di bawah kendalian MAB dan Suruhanjaya Penerbangan Awam (Mavcom) juga mengesahkan perkara itu.

Wee berkata beliau juga telah mengadakan mesyuarat secara maya dan berkomunikasi secara peribadi dengan semua pihak berkepentingan berdasarkan keputusan mesyuarat MKN mengenai penerbangan dari India.

Mengenai kes pekerja asing India dengan pas yang sah memasuki Malaysia, Wee berkata beliau telah menyemak perkara itu dengan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan mengesahkan kes itu berlaku ‘lebih awal’ iaitu pada 10 April.

“Pengembara bukan rakyat Malaysia dari India tidak dibenarkan memasuki atau transit di Malaysia pada masa ini,” katanya dan menambah pengecualian bagaimanapun diberikan kepada rakyat Malaysia yang memasuki negara ini dari India tanpa melalui imigresen dan kastam.

Dr Noor Hisham dilaporkan berkata Malaysia telah mengesan kes pertama varian COVID-19 dari India dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1.

Kes itu melibatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mumbai, India dan memasuki Malaysia menggunakan pas pekerja pada 10 April sebelum diuji positif COVID-19 di pintu masuk antarabangsa pada hari yang sama, kata Dr Noor Hisham.

Wee berkata MAB juga melarang kakitangan penyelenggaraan dari India daripada memasuki pesawat yang berkenaan.

“Semua kru iaitu juruterbang, jurutera dan seorang kru kabin kekal berada di dalam pesawat,” katanya.

Wee berkata pekerja asing yang memegang pas pekerja sementara, pekerja perniagaan dan pelajar antarabangsa dari India turut dikenakan sekatan sama berkuat kuasa 28 April.

Pelajar dan pekerja warga Malaysia, ahli keluarga mereka dan pasangan bukan rakyat Malaysia kembali ke Malaysia dari India dibenarkan tetapi perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan, katanya. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas