Berita

Adun Kuala Kurau buat laporan polis terhadap portal berita

- Diterbit 3 Mei 2021 8:01 AM MYT

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau Datuk Abdul Yunus Jamahri hari ini membuat laporan polis berikutan artikel portal berita yang didakwa berniat jahat dan memfitnahnya.

Beliau yang juga Exco Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian (IPD) pada 11.30 pagi bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut terhadap artikel itu.

Menurutnya artikel berkenaan memberikan gambaran seolah-olah beliau sebagai wakil rakyat tidak mempedulikan warga emas selain memberikan imej tidak baik kepadanya dan beberapa agensi kerajaan.

“Laporan itu seolah-olah saya tidak bertanggungjawab sedangkan wanita berkenaan Rofiah Abdulrosid, 85, telah menerima sebuah rumah baharu di Kampung Teluk Pial, Kuala Kurau pada 17 Feb tahun lepas oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Bagaimanapun wanita itu enggan berpindah ke rumah baharu menyebabkan ada pihak tertentu mengambil kesempatan memanipulasikan kisah kehidupannya di rumah uzur yang diduduki,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di IPD berkenaan di sini hari ini.

Pada 29 April lepas portal berkenaan mengeluarkan artikel bertajuk ‘Warga Emas Hidup Daif di Kuala Kurau, Perak Mohon Bantuan’, ‘Tidak Ada Wakil Rakyat Datang Menjenguk Dan Warga Emas Rayu Bantuan, Rumah Tunggu Masa Sembah Bumi’.

Abdul Yunus menjelaskan wanita itu menerima rumah baharu susulan kejadian seorang cucunya tertusuk pisau pada 2019 dan artikel itu katanya memberi ruang pada warganet menabur kata-kata kesat pada agensi pemberi bantuan seperti institusi zakat.

Beliau memaklumkan akan berbincang dengan peguamnya untuk mengemukakan saman terhadap portal berita itu dan wartawan terbabit kerana telah menjejaskan reputasinya sebagai wakil rakyat selama tiga penggal.

Bagaimanapun Abdul Yunus berkata pihaknya sedia memaafkan namun mereka perlu mengeluarkan kenyataan maaf dalam portal tersebut. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas