Berita

Azhar Idrus kebetulan di KL… “Tiada aktiviti rentas negeri” – Siti Nurhaliza

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri hanya singgah untuk memyempurnakan bacaan doa dan tahnik.
- Diterbit 3 Mei 2021 5:17 AM MYT

BINTANG nombor satu negara tidak cepat melatah apabila dikecam netizen selepas didakwa menjemput beberapa pendakwah bebas ke majlis tahnik anak lelakinya, Muhammad Afwa baru-baru ini.

Antara yang dapat dilihat di majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tiga penceramah terkenal Azhar Idrus, Don Daniyal Don Biyajid dan Iqbal Zain.

Pertikaian ini mula timbul apabila netizen mempersoalkan kehadiran Zulkifli dan Azhar Idrus yang dikatakan merentas negeri kerana menetap di luar dari kawasan Selangor mahupun Kuala Lumpur.

Bagi meleraikan salah faham ini, Siti dan suaminya Datuk Seri Khalid memperjelaskan lagi keadaan sebenar yang berlaku melalui sebuah kenyataan kepada pihak media.

“Berhubung isu yang sedang tular ketika ini, kami sebagai tuan rumah, Dato Sri Khalid Mohamad Jiwa dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza ingin memberi pencerahan mengenai majlis tahnik anak lelaki kami, Muhammad Afwa yang kami anjurkan pada 26 April lalu yang didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk berlakunya aktiviti rentas negeri.

“Dakwaan ini ditimbulkan apabila kami mengundang seorang pendakwah bebas dari negeri lain sebagai tetamu. Di sini kami ingin memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku. Sebaliknya individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan.

“Memandangkan acara itu dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), atur cara majlis dan bilangan tetamu yang hadir mematuhi syarat penganjuran majlis sosial Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti seperti yang tertakluk pada tempoh itu.

“Majlis juga terbahagi kepada 3 sesi dengan bilangan tetamu terhad, dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid untuk mengambil keberkatan fadhilat sunat mengadakan tahnik dan memberi nama kepada anak pada hari ke-7 mengikut sunnah Rasulullah,” katanya.

MENTERI Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri hanya singgah untuk memyempurnakan bacaan doa dan tahnik.

Menurut pelantun lagu Kuasa Cintamu itu lagi, mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Menteri Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, kunjungan itu bukanlah majlis khas seperti yang disangka.

“Ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka. Sebaliknya beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sahaja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.

“Sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka dengan situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini dan selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin.

“Penjelasan ini bukanlah untuk mempertahankan diri tetapi bertujuan memberikan pencerahan terhadap beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pihak tertentu.

“Kesempatan ini juga kami ingin memohon maaf jika apa yang berlaku ini menerbitkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak. Kami memahami, berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan. Kami juga bersedia untuk memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

“Ini merupakan kenyataan terakhir daripada kami mengenai isu ini dan berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dan difahami dengan baik,” ujarnya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas