Berita

CUEPACS agih 700 pek iftar Ramadan kepada petugas barisan hadapan

ADNAN (kanan) menyampaikan pek iftar Ramadan kepada Aminuddin di Putrajaya petang tadi. - Gambar Mohammad Faris Mohd. Noor Azmi/PPj
- Diterbit 1 Mei 2020 3:08 PM MYT

PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini mengagihkan lebih 700 pek iftar Ramadan kepada petugas barisan hadapan sempena sambutan Hari Pekerja 1 Mei 2020.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, program dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) itu bertujuan menyantuni petugas barisan hadapan yang terpaksa berkhidmat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 demi memastikan kemakmuran negara.

Beliau berkata, pek makanan berbuka puasa itu akan diagihkan di beberapa lokasi seperti petugas kesihatan di Hospital Putrajaya, Pejabat Kesihatan Putrajaya, Ibu Pejabat Polis Putrajaya, petugas keselamatan di sekatan jalan raya, anggota bomba dan penguat kuasa PPj.

“Hari Pekerja adalah hari raya kepada pekerja-pekerja di Malaysia. Mereka sepatutnya diraikan atau bercuti bersama keluarga masing-masing tetapi perlu bertugas demi memastikan rakyat menikmati kesejahteraan.

“Justeru, CUEPACS berharap dengan sedikit sumbangan untuk berbuka puasa ini dapat menyuntik semangat serta meringankan kesulitan yang dialami oleh petugas barisan hadapan,” katanya.

Hadir sama melancarkan Majlis Agihan Pek Iftar Ramadan itu ialah Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Dalam perkembangan lain, Adnan meminta supaya semua pihak tidak membuat kenyataan yang boleh mengguris hati penjawat awam sebaliknya bersama-sama membina kembali kemakmuran negara.

“Usah kita pertikai lagi mengapa penjawat awam masih menerima gaji sedangkan ada beberapa sektor swasta tidak menerima gaji ekoran wabak Covid-19. Sebaliknya tumpu kepada usaha kekang wabak Covid-19 ini bersama,” katanya.

Terdahulu dalam majlis berasingan, Adnan menyampaikan Anugerah Majikan Prihatin CUEPACS kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Anugerah Tokoh Hari Pekerja CUEPACS kepada Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.

JBPM diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas