Berita

Hanis Nadiah kekal semangat biarpun tanpa Dharma Raj

HANIS (kanan) dalam satu aksi di Jakarta, Indonesia.
- Diterbit 30 April 2020 5:31 AM MYT

KUALA LUMPUR – Penyerang sensasi skuad Malaysian Tigress, Hanis Nadiah Onn kekal bersemangat biarpun ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah memilih untuk tidak terus mengemudi skuad hoki wanita kebangsaan itu.

“Walaupun tanpa ketua jurulatih dan juga tiada program latihan buat masa sekarang, ia bukan satu halangan buat saya untuk terus mengekalkan kecergasan,” ujarnya.

Tambahnya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bulan puasa ini, dia memulakan latihan pada pukul 6 petang dengan melakukan aktiviti kardio bersama rakan-rakan menerusi panggilan video.

“Ya, memang saya akui tidak turun padang dan tidak pegang kayu hoki selama dua bulan mampu menjejaskan prestasi semasa namun sebagai atlet kita harus ada usaha sendiri untuk kekal cergas,” katanya.

Terdahulu, Dharma Raj memilih untuk bergelar Pengarah Teknikal Hoki Jawa Barat sekali gus tidak bersama skuad hoki wanita kebangsaan.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) masih dalam pertimbangan mencari calon sesuai mengemudi skuad negara itu. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas