Berita

Hairi yakin jaga gawang negara

- Diterbit 12 Julai 2019 2:07 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

PENJAGA gol skuad hoki negara, Mohd. Hairi Abd. Rahman, 29, berharap agar dia dapat menyertai sai­ngan playoff kelayakan Sukan Olimpik 2020 pada November akan datang. Malah dia berhasrat ingin beraksi dengan cemerlang.

Biarpun masih lagi menjalani sesi rehabilitasi secara intensif di Institut Sukan Negara (ISN) selepas menjalani pembedahan lutut, atlet kelahiran Johor Bahru ini yakin sempat sembuh bagi menyertai saingan tersebut.

Menurutnya, dia tidak mungkin melepaskan peluang untuk pergi ke Olimpik pada tahun hadapan. Malah dalam masa yang sama, dia juga begitu yakin mampu menyertai pasukan negara sebelum bermulanya saingan.

“Sungguhpun kecederaan lutut (meniscus bucket handle tear) ini memerlukan pemulihan yang begitu terperinci namun saya perlu percaya dan berharap mampu menjalaninya dengan baik-baik sahaja,” ujarnya yang dinasihatkan untuk berehat selama tiga bulan.

Baginya saingan playoff itu adalah satu peluang yang cukup bermakna setelah mengharungi pelbagai kesukaran untuk menyertai skuad Malaysia seperti hari ini. Hal itu juga membuatkannya tidak kenal erti putus asa dan sabar dalam apa jua halangan.

“Bergelumang dalam apa jenis sukan sekali­pun, kekuatan mental dan fizikal amat penting. Tanpa kedua-duanya, saya atau mana-mana atlet tak mungkin dapat kekal lama dalam bidang sukan. Ia adalah tips mudah untuk berjaya,” ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Putra Malaysia ini.

Bercerita tentang masa hadapan hoki negara, anak ketiga daripada empat orang adik-beradik ini melahirkan rasa gembira apabila ramai golongan muda yang bersaing untuk merebut tempat dalam sukan hoki.

“Ia adalah perkembangan yang begitu baik sekali. Pemain muda hari ini dilihat optimis terhadap masa hadapan mereka dalam sukan hoki. Malah ia boleh dijadikan penanda aras buat sukan hoki negara,” ujarnya.

Bagi membantu melahirkan lebih ramai lagi pelapis di posisi penjaga gol untuk pasukan negara, Hairi berazam untuk menjadi jurulatih bagi mencurahkan pengalamannya kepada gene­rasi baharu.

“Jika tidak bermain lagi nanti, perkara terbaik yang saya fikirkan adalah untuk mengajar anak-anak muda. Secara tidak langsung, sumbangan saya terhadap bidang sukan hoki tidak terhenti begitu sahaja,” akuinya.

Berkongsi memori manis­nya, dia bersyukur ketika di­pilih menyertai pasukan kebangsaan buat kali pertama pada 2016 iaitu Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah. Ia merupakan detik paling menggembirakan setelah beberapa kali mencuba sebelum itu.

Komitmen besar

Menerima anugerah Man of The Match pada perlawanan menentang Pakistan tahun 2016, Hairi bagaimanapun mengakui cabaran paling besar baginya saat ini adalah memberi komitmen dan masa yang seimbang antara ke­luarga dan latihan.

“Hampir setiap hari saya terlibat dengan latihan pada sebelah pagi dan petang (Isnin hingga Jumaat). Untuk itu agak sukar bagi saya meluangkan masa bersama keluarga. Namun mujurlah isteri amat memahami situasi ini,” ujarnya.

Katanya lagi, tanpa insan-insan penting tersebut, agak sukar buatnya untuk berada pada tahap seperti hari ini. Baginya, mereka semua adalah pendorong utama yang sanggup berada di sisinya ketika jatuh dan bangun.

Mula bermain pada umur 12 tahun lagi, Hairi menjadikan bekas penjaga gol kebangsaan, Roslan Jamaluddin sebagai idolanya dalam sukan hoki ketika dia berada di bangku sekolah satu ketika dahulu.

“S. Kumar pula adalah mentor saya manakala jurulatih penjaga gol negara, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim pula merupakan sifu saya. Kekuatan mereka bertiga ini menjadi inspirasi untuk saya berjaya dalam hoki,” tuturnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas