Berita

Garis panduan DBKL tidak sekat hak jual dan beli arak

- Diterbit 19 November 2020 10:25 AM MYT

GARIS Panduan Lesen Minuman Keras (LMK) baharu yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak menyekat hak penjualan dan pembelian liquor di bandaraya ini.

Pengerusi Lembaga Eksais DBKL, Datuk Lau Beng Wei berkata, garis panduan tersebut dikeluarkan adalah bertujuan untuk mengawal kemudahdapatan penjualan dan pengambilan minuman beralkohol.

“Ia juga dilakukan bagi mengawal keselamatan, kesihatan dan kesenangan warga kota.

“Di samping ia menjadikan penjualan liquor berkualiti secara tersusun dari segi lokasi, jenis premis dan masa penjualan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, beberapa sesi perbincangan, mesyuarat dan bengkel telah diadakan dalam penyediaan garis panduan ini yang melibatkan beberapa agensi kerajaan berkaitan.

“Antara agensi yang terlibat adalah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP); Kementerian Kesihatan (KKM); Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (KASTAM); Polis DiRaja Malaysia (PDRM); Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Ia turut melibatkan pihak berkepentingan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Katanya, garis panduan ini telah dimuktamadkan Lembaga Eksais dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Projek Khas Bil.11yang dipengerusikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan pada 7 Oktober 2020 yang lalu.

Beng Wei berkata, Garis Panduan baru ini tidak menyekat hak penjualan dan pembelian liquor di ibu kota.

“Ianya masih boleh dijual dan dibeli di premis khusus menjual liquor seperti di bawah LMK Rumah Awam Kelas 1 termasuk di Pub/Bar/Lounge/Restoran malahan di bawah LMK Runcit seperti Pasaraya/Hypermart yg berada di Kompleks Perdagangan.

“Manakala bagi penjualan liquor campuran atau ” pure” yang bertujuan atau dikategorikan untuk tujuan ubatan tradisional oleh KKM juga masih boleh dijual di kedai ubat cina,” katanya.

Walau bagaimanapun katanya, sekiranya kedai ubatan cina ingin menjual jenis liquor yang lain, mereka boleh memohon kebenaran melalui KKM dengan justifikasi jualan dan DBKL tiada halangan sekiranya KKM mengesahkan jenis liquor tersebut.

“Selain daripada itu, LMK sementara boleh dikeluarkan bagi aktiviti promosi/acara yang menghidangkan bir/liquor dan juga di musim perayaan.

“Penjualan bir di Kedai Runcit /Kedai Serbaneka /Kedai Ubat Cina juga masih dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti masa jualan, ruang penjualan dan had umur pembeli,” katanya. OLEH AZLAN ZAMBRY -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas