Berita

83,200 kampit beras diagih – Zaizalnizam

ZAIZALNIZAM (kanan) turut serta Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa menyampaikan sumbangan MYBeras kepada penduduk terjejas
- Diterbit 18 Julai 2021 8:50 AM MYT

SEJUMLAH 83, 200 kampit beras di bawah program MYBeras@Wilayah berjaya diedarkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) di Wilayah Persekutuan bermula Februari 2021 hingga Mei lalu.

Pelaksanaan program tersebut amat menggalakkan dengan penyertaan rakan-rakan strategik serta badan-badan korporat dalam menyalurkan sumbangan bagi membantu golongan terkesan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Zaizalnizam Zainun, kerjasama yang terjalin di antara semua pihak yang terlibat menjadikan program tersebut berjalan lancar.

“Alhamdulillah, saya berbesar hati dengan keprihatinan semua pihak dalam menjayakan program MYBeras. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang sentiasa bersama menyalurkan sumbangan dan bantuan dari segi kewangan.

“Selain itu, tidak lupa juga sumbangan daripada badan-badan korporat yang tidak putus-putus menyumbang untuk program ini. Sumbangan mereka amat dihargai,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Tambah beliau, keprihatinan semua pihak dapat meringankan sedikit beban yang dipikul warga Wilayah Persekutuan yang tidak bernasib baik dalam situasi pandemik ketika ini.

“Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) yang menguruskan pengedaran beras secara terus kepada rakyat juga perlu dipuji di atas kecekapan mereka.

“Untuk masa hadapan, saya berharap semua pihak dapat bekerjasama lagi dalam menyalurkan sumbangan untuk membantu golongan memerlukan ini,” kata Zaizalnizam yang turut memuji kakitangan YWP yang komited turun padang membantu.

Terdahulu, YWP bertindak mengurus pembekalan dan sumbangan beras sempena program yang diilhamkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa.

Bantuan yang diberikan berupa satu kampit beras lima kilogram bagi setiap keluarga yang layak.

Dalam pada itu, menurut Zaizalnizam, YWP kini fokus kepada program RumahPrihatin@GrandSeasons yang diilhamkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan pentadbirannya oleh YWP.

“Banyak komponen di dalam program tersebut yang perlu diberi perhatian antaranya Dapur Prihatin (DP), Bilik Penginapan Prihatin (BPP), Klinik Kesihatan Mental Prihatin (KKMP) dan sebagainya,” ujar beliau.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas