Berita

Gotong-royong atasi kerosakan bangunan sekolah

AKAR pokok jejawi setebal empat inci dibersihkan dari atas bumbung sekolah.
- Diterbit 6 Disember 2019 11:16 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Akar pokok je­jawi setebal empat inci di atas bumbung. Itu keadaan yang dapat dilihat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi di sini yang dipercayai tidak diselenggara dengan baik.

Bagaimanapun, akar pokok jejawi yang berusia 15 tahun itu dibuang dan bumbung sekolah ber­kenaan dibersihkan semasa sesi gotong-royong perdana anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) dan SMK Sungai Besi pada 30 November lalu.

Gotong royong ter­sebut diketuai Yang Dipertua PIBG SK Sungai Besi, Mohd. Hazni Mat Hamzah dan pemangku Yang Dipertua SMK Sungai Besi, Zulkarnain Muhammad Sidik.

Menurut Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Bersama PIBG, Yaakub Abu, program dengan kerjasama erat daripada pentadbir dan kedua-dua buah sekolah diadakan bagi memastikan keselamatan serta kesihatan murid terpelihara.

“Pokok berkenaan ber­usia lebih 15 tahun dan akarnya berada di atas bumbung. Semasa pembersihan hampir selesai, pihak PIBG mendapati terdapat akar pokok di dalam saluran air bumbung yang bersambung masuk ke dalam saluran paip bersaiz tiga inci.

“Akar tersebut juga menyusup terus ke bahagian longkang sehingga menyebabkan longkang pecah. Keadaan itu mula merosakkan bangunan dan struktur sekolah,” kata­nya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Yaakub memberi­tahu, gotong-royong pembersihan juga mengambil masa dua hari yang mana pada hari pertama, pro­ses penebangan dilakukan manakala sesi pembersihan dilakukan pada hari kedua.

Ujarnya, pembersihan mengambil masa yang lama berikutan akar pokok jejawi yang berada di atas bumbung sudah setebal empat inci, malah ia menyebabkan bumbung bengkok.

Jelasnya, pokok jejawi yang merimbun di atas bumbung berasal dari pokok yang tumbuh di kawasan SK.

“Ekoran tidak diselenggara ia membesar dan merimbun di atas bumbung sekolah menengah yang bersambungan di dewan kedua-dua buah sekolah berkenaan,” ujar­nya.

Dalam pada itu, Yaakub memberitahu, tindakan menyelenggara dilakukan selepas 15 tahun susulan laporan Wilayahku pada edisi ke-45 lalu yang memaparkan sikap tidak bertanggungjawab pe­gawai kerajaan yang membiarkan pokok tumbuh di atas bumbung kediaman yang diduduki.

Katanya, ia juga bagi membuktikan bahawa sekolah tidak daif sebaliknya ia kelihatan buruk akibat tidak diselenggara dengan baik seperti di SMK, dindingnya ditumbuhi pokok.

Tambahnya, pada masa ini, tindakan yang diambil adalah membersihkan pokok-pokok jejawi dan pokok besar yang me­rosakkan kawasan sekolah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas