Atlet Wilayah

Giat jalani latihan insentif, Aisyah buru emas di Sukan SEA tahun depan

- Diterbit 26 Februari 2024 8:04 PM MYT

HAMPIR 12 tahun mendapat pendedahan dalam sukan kayak, kini atlet Wilayah Persekutuan, Aisyah Farhanah Azwan, 24, bercita-cita untuk menempa kejayaan bersama skuad kebangsaan di Kejohanan Dunia.

Setiap kali terpilih untuk tampil di pentas pertandingan, dia sebolehnya mahu memastikan skuad kayak mencipta rekod hebat.

“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh kerana setiap kali pasukan memperolehi kemenangan, secara tidak langsung ia juga merupakan kejayaan bagi diri sendiri,” ujarnya.

Dalam masa sama, anak bongsu daripada enam orang adik-beradik ini memberitahu dia sedang giat mempersiapkan diri sebelum menghadapi Kejohanan Southeast Asian (SEA) Games yang bakal berlangsung di Thailand tahun depan.

“Saya akan lakukan sehabis baik untuk meraih pingat emas di samping menjalani latihan intensif untuk memperbaiki diri sedikit demi sedikit supaya menjadi lebih padu.

“Sukan kanu ini memerlukan latihan yang konsisten bukan sahaja untuk mengekalkan stamina tetapi juga prestasi di dalam air,” ujar atlet kelahiran Kuala Lumpur ini.

Ingin menjulang nama Malaysia di peringkat antarabangsa, Aisyah Farhanah berhasrat untuk terus membawa sukan kanu kekal unggul di mata dunia.

“Di Malaysia, sukan ini masih asing tetapi di luar negara, kanu adalah antara sukan popular di mana prestasi atlet mereka cukup hebat. Semoga atlet kita akan sampai ke tahap seperti itu juga.

“Saya berharap akan diberi peluang untuk menyertai kejohanan di luar negara pada tahun ini dan akan datang jika keadaan mengizinkan,” ujarnya.

Sebagai pelajar jurusan Diploma Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Aisyah Farhanah memberitahu dia menyimpan cita-cita untuk bergelar seorang fisioterapi apabila tamat pengajian pada kelak.

“Sungguhpun mencintai sukan kayak namun saya tidak mahu mengabaikan pelajaran dan menjadikan gelaran atlet sebagai suatu halangan. Itu janji saya pada diri dan keluarga.

“Kalau boleh saya ingin bergelar atlet yang berpendidikan tinggi. Malah besar harapan suatu hari nanti dapat menjadi ahli fisioterapi yang hebat,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas