Berita

FAM rancang enam aksi persahabatan untuk Skuad B-23

KREDIT foto: FAM.
- Diterbit 22 Februari 2024 4:35 PM MYT

SKUAD bola sepak kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) dijangka bermain dalam enam perlawanan persahabatan sebagai persediaan menghadapi Kelayakan Olimpik Paris 2024 bermula 15 April hingga 3 Mei ini di Qatar.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata barisan pemain Harimau Muda di bawah kendalian Juan Torres Garrido itu akan memulakan persediaan kelayakan Piala Asia B-23 2024 dengan tiga perlawanan persahabatan dalam tempoh kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 18-26 Mac ini di tanah air, kemungkinan besar menentang India dan dua pasukan lain.

Mereka kemudian akan berangkat ke Qatar pada awal April untuk beraksi dalam aksi pemanas badan menentang tuan rumah dan antara lain, dijangka bertemu pasukan Jepun.

“Kami akan mengerahkan pasukan awal ke Qatar kerana mereka perlu menyesuaikan diri dengan cuaca dan perbezaan waktu lima jam sebelum sepak mula. Kami cuba elak bermain menentang kelab, mungkin main menentang pasukan yang tiba awal,” kata Hamidin yang juga Ketua Kontinjen (CDM) Paris 2024 kepada pemberita.

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai persediaan itu akan diumumkan tidak lama lagi dengan beberapa pemain kemungkinan dipanggil oleh ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan Gon untuk berdepan Oman di Muscat pada 22 Mac ini dan di Stadium Nasional Bukit Jalil (26 Mac) bagi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Sementara itu, Hamidin mengakui bahawa peluang untuk pasukan negara layak ke Olimpik selepas 44 tahun dilihat sukar kerana hanya pasukan tiga terbaik dalam Piala Asia B-23 akan layak ke temasya di Paris, manakala pasukan di kedudukan keempat terpaksa bermain dalam perlawanan penentuan menentang pasukan di tempat keempat Piala Negara-Negara Afrika B-23 2023, Guinea.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait. Hanya dua pasukan terbaik kumpulan akan mara ke suku akhir.

“Secara realistik, sebagai Presiden FAM, kalau dapat layak ke Olimpik, saya rasa ia satu kejayaan besar, bagaikan skuad senior layak ke Piala Dunia. Kami perlu sedar bahawa Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi memiliki tujuh hingga 10 pemain yang bermain dalam Piala Dunia 2022 dan Piala Asia baru-baru ini.

“Malah dalam kumpulan kami, Uzbekistan mempunyai tujuh pemain yang beraksi dalam kesebelasan utama Piala Asia, manakala Vietnam mempunyai kira-kira sembilan pemain dalam skuad Piala Asia.

“Jadi, pastinya kita mesti berikan yang terbaik dan penting untuk kita layak ke suku akhir terlebih dahulu. Ini bermaksud mesti dapatkan keputusan yang baik menentang Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait,” katanya.

Malaysia hanya layak ke Olimpik sebanyak dua kali – pada edisi Munich 1972 dan Moscow 1980 – namun tidak mengambil bahagian dalam Sukan Moscow kerana boikot yang diketuai Amerika Syarikat terhadap Kesatuan Soviet.

Terdahulu, Hamidin dan Timbalan CDM Datuk Nicol David meninjau sesi latihan penerjun Bertrand Rhodict Lises dan penembak pistol Johnathan Wong Guanjie menjelang temasya di Paris pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas